Kerajaan nafi beri subsidi pengeluaran fotovoltaik silikon kristal
MENTERI Perdagangan, Pelaburan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz menafikan dakwaan Amerika Syarikat (AS) bahawa kerajaan memberi subsidi harga sel fotovoltaik silikon kristal (CSP).
“Ia adalah syarikat individu yang menjual sel-sel ini, bukan kerajaan,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan akan menjalankan siasatan sebelum memberikan maklum balas rasmi, katanya kepada pemberita selepas pelancaran kilang pemasangan syarikat kereta China, Chery di Shah Alam.
Minggu lalu, Suruhanjaya Perdagangan Antarabangsa AS (USITC) mengundi untuk meneruskan siasatan anti-lambakan dan anti-subsidi ke atas sel CSP yang diimport dari Malaysia, Thailand, Kemboja dan Vietnam.
Suruhanjaya itu menentukan terdapat petunjuk munasabah bahawa industri AS “tercedera secara material” oleh pengimportan sel CSP, sama ada dipasang ke dalam modul atau tidak, dari empat negara tersebut.
Dalam kenyataannya, USITC berkata produk itu didakwa dijual di AS “pada nilai kurang saksama dan disubsidi” oleh kerajaan Malaysia, Thailand, Kemboja dan Vietnam.
Tengku Zafrul menegaskan, Washington sedang mengambil tindakan terhadap syarikat dan bukannya kerajaan.
Mengulas isu lain, beliau berkata, Program Lima Tahun untuk Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan dijangka ditandatangani tidak lama lagi, semasa lawatan sulung Perdana Menteri China, Li Qiang ke Malaysia.
“Inisiatif ini akan mengeratkan lagi hubungan antara industri kami dalam sektor keutamaan seperti pembuatan, ekonomi digital, robotik, pembangunan usahawan, inovasi dan permulaan serta R&D dalam pertanian dan industri utama,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, Putrajaya dan Beijing dijangka menandatangani dua memorandum persefahaman semasa lawatan Li: satu mengenai memperkukuh kerjasama pelaburan dalam ekonomi digital dan satu lagi mengenai menggalakkan kerjasama pelaburan dalam pembangunan hijau. SM