Politik

Kerajaan digesa kaji lebih teliti sebelum laksana semual PKPB

KERAJAAN digesa mengkaji lebih teliti risiko peningkatan jangkitan wabak pandemik Koronavirus (Covid-19) sebelum memutus untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Hal demikian berikutan kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah, semalam yang menyatakan Pergerakan Kawalan Pergerakan (PKP) akan digantikan.

Langkah itu bagaimanapun, tidak wajar kerana tempoh PKP masih terlalu awal untuk ditamatkan kerana kes baharu masih lagi cecah empat angka.

Justeru, ia mustahil dapat diturunkan dengan pelaksanaan PKPB sedangkan ketika PKP pun sektor yang menyumbang kluster terbesar dibenarkan beroperasi.

Malah, PKPB juga sebelum ini dilaksanakan di kawasan-kawasan sektor ekonomi utama negara sejak Oktober lalu pun tidak menyumbang langsung kepada penurunan kes.

“Ia (PKPB) terbukti gagal sebab kes baru Covid semakin naik sepanjang tempoh hampir empat bulan itu sehingga PKP dan darurat perlu dilaksanakan pada 12 Januari.

“Tetapi kerajaan laksanakan PKP separuh masak di mana sektor-sektor yang merupakan penyumbang kluster dan jumlah kes Covid-19 terbesar dibenarkan untuk terus beroperasi.

“Lalu kerajaan harap perlaksanaan semula PKPB akan turunkan kes baru ke dua angka?”

Demikian persoalan dibangkitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu hantaran Facebooknya hari ini.

Beliau berkata demikian mempertikaikan langkah dimaklumkan oleh Noor Hisham mengenai tindakan tidak melanjutkan PKP selepas 4 Februari ini.

Sebaliknya, kaedah pembendungan pandemik itu akan dilakukan melalui penguatkuasaan PKPB yang dijangka dapat mengurangkan empat kepada dua angka jangkitan baharu setiap hari menjelang Mei.

Sementara itu, dalam hantaran berasingan, Ahli Parlimen Pekan itu turut membangkitkan bagaimana angka jangkitan dapat dikurangkan apabila kes masih lagi berada pada paras lebih 3,000 setiap hari.

Katanya, kerajaan sepatutnya menguatkuasakan PKP yang benar-benar ketat seperti Mac tahun lalu.

“Adakah ia jauh lebih elok untuk kita buat PKP yang seketat-ketatnya tanpa kelonggaran kepada sektor-sektor pembinaan dan kilang-kilang untuk tempoh 2 hingga 4 minggu dengan bantuan kerajaan seperti PKP pertama tahun lepas.

“Untuk (supaya) memberi kesan yang paling maksima terhadap penularan Covid-19 tempatan agar Rakyat tidak perlu menghadapi PKPB yang berterusan serta risiko PKP 3.0 akhirnya akan terpaksa dilaksanakan pada bulan-bulan mendatang?

“Bukan ke pengorbanan untuk seketika jauh lebih baik berbanding mudarat yang berpanjangan?” soalnya lagi.

Untuk makluman, PKP2.0 mula dilaksanakan sejak 13 Janauri lalu yang sepatutnya berakhir pada hari ini namun dilanjutkan sehingga 4 Februari.

Sebelum ini tular kenyataan daripada Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah – Malaysia (Eurocham) mendakwa kerajaan akan melaksanakan sekatan operasi ekonomi selepas 4 Februari nanti.

Ia adalah langkah memperketatkan semula PKP bagi membendung penularan pandemik sekiranya PKP2.0 tidak berjaya mengurangkan kes harian.

Walau bagaimanapun, Eurocham kemudian nafi mengeluarkan kenyataan sedemikian. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button