Nasional

Kerajaan benarkan 4 sektor tidak perlu mulakan operasi

Kerajaan bersetuju membenarkan semua aktiviti tidak perlu dalam sektor-sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian kembali beroperasi bermula esok di negeri Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara.

Bagaimanapun menurut Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin, kapasiti pengoperasian adalah bergantung kepada kadar vaksinasi lengkap pekerja.

Sektor yang telah memberikan vaskinasi kepada 80 peratus hingga 100 peratus kapasiti dibenarkan beroperasi 100 peratus.

Sektor yang mencatatkan 60 peratus hingga 79 peratus kapasiti dibenarkan beroperasi 80 peratus dan 40 peratus hingga 60 peratus vaksinasi kapasiti yang dibenarkan beroperasi sebanyak 60 peratus.

“Kerajaan faham, keputusan ini akan menimbulkan pelbagai reaksi daripada orang ramai yang bimbang dengan risiko penularan.

“Sekali lagi dijelaskan bahawa setiap ketetapan dibuat dengan berhati-hati. Setelah lebih setahun negara berada dalam situasi pandemik, banyak majikan mula mengurangkan tenaga kerja sekaligus menyebabkan ramai hilang pekerjaan. Dalam situasi sukar ini, kerajaan tidak boleh membiarkan keadaan ini berlarutan,” kata Muhyiddin.

Kerajaan amat berharap kemudahan yang diberkan dapat merancakkan semula perusahaan yang tergendala sebelum ini.

Muhyiddin mengingatkan semua majikan supaya mematuhi dan memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan sebelum memulakan semula operasi bagi memastikan keselamatan pekerja dan tempat kerja terjamin.

“Pada masa yang sama, manfaatkanlah sepenuhnya inisiatif subsidi upah yang disediakan Kerajaan bagi
memastikan setiap pekerja memperolehi bayaran gaji mereka,” pesan beliau.

Pekerja digalakkan membuat laporan sekiranya majikan tidak mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia.

Majikan yang tidak mematuhi SOP dan melanggar Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangit 1988 (Akta 342) boleh dikompaun dan dihadapkan di mahkamah.

Di bawah Akta ini juga, KKM mempunyai kuasa penuh untuk memberi notis perintah tutup premis.

“Saya difahamkan dari tempoh 26 Julai hingga 10 Ogos, lebih 900 premis telah diarahkan tutup kerana kegagalan mematuhi SOP. Ini adalah bukti Kerajaan amat tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan.

“Terima kasih kepada rakyat dan pekerja yang membuat aduan sekaligus memudahkan pihak berkuasa menjalankan penguatkuasaan,” kata Muhyiddin.-SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button