Nasional

Kerajaan benarkan 15 negara sumber pekerja asing bekerja dalam 3 sektor

KERAJAAN bersetuju untuk membenarkan pekerja asing dari semua 15 negara sumber bekerja dalam sektor perkilangan, pembinaan dan perkhidmatan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, persetujuan itu diputuskan oleh mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing Kali Ketujuh Bilangan 1 Tahun 2022.

“Mesyuarat bersetuju untuk meluluskan permohonan bagi penggajian pekerja asing di subsektor gudang darat, industri sarang burung walet, subsektor barang lusuh dan juga subsektor dobi,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga bersetuju untuk meluluskan kertas cadangan dari Construction Labour Exchange Berhad (CLAB) bagi membolehkan agensi berkenaan menguruskan sepenuhnya kemasukan pekerja asing binaan melebihi 100 orang selaras dengan pematuhan Akta 520.

Katanya lagi, wujudnya penentuan agensi kawal selia bagi subsektor tertentu di mana Kementerian Pengangkutan dilantik bagi mengawal selia pengurusan penggajian pekerja asing di subsektor gudang darat.

Manakala, kata Hamzah, industri sarang burung walet dikawal selia oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi).

“Ini adalah untuk memastikan keputusan tersebut tidak menjejaskan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

“Bagi menyelesaikan masalah pengambilan pekerja asing dari Indonesia, Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Imigresen akan mengadakan perbincangan segera dengan pihak Indonesia,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat polis Bukit Aman, hari ini.

Pada 13 Julai lalu, Duta Besar Indonesia Hermono berkata, republik itu telah mengenakan pembekuan sementara ke atas semua pekerja Indonesia yang memasuki Malaysia.

Menurut beliau, pembekuan sementara itu berikutan Jabatan Imigresen terus menggunakan Sistem Pembantu Rumah Dalam Talian (MOS) bagi memudahkan pengambilan pembantu rumah warga Indonesia dan bukannya satu saluran iaitu “One Channel System” seperti dipersetujui dalam memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-duanya negara.

Untuk rekod, MOS membenarkan pekerja Indonesia memasuki negara itu menggunakan visa pelancong sebelum memohon permit kerja, satu amalan yang ingin dihentikan oleh Jakarta kerana terdedah kepada risiko buruh paksa.

Bagaimanapun, katanya, masalah itu perlu dibincangkan antara negara dan bukannya terus mendedahkannya kepada media. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button