KEPUTUSAN Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menarik semula arahan awalnya mengenakan syarat baharu menafikan pencarum daripada menerima rawatan dialisis secara percuma disifatkan sebagai satu kemenangan rakyat.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong mendakwa, tindakan itu dibuat selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) dikecam masyarakat.
“Haha…. Kalau menteri yang ‘menyarankan’ pembatalan syarat baharu demi kebajikan pencarum, sudah lama ia dilakukan dan sudah tentu tiada arahan baharu yang dikeluarkan.
“Jelas sekali, Lembaga Perkeso cuma nak menjaga air muka menteri dan bagi kredit kepada menteri. Kalau bukan desakan rakyat baru-baru ini, mana mungkin Perkeso buat u-turn?” katanya menerusi kenyataan dalam Facebook beliau.
Perkeso sebelum ini memaklumkan berkuat kuasa pada 10 Januari lalu, kemudahan dialisis yang ditawarkan kepada pencarum perlu mengikut syarat baharu kelayakan ditetapkan.
Antara lain syarat baharu itu akan mengehad atau menafikan pencarum daripada mendapatkan rawatan dialisis secara percuma.
Langkah itu kata Perkeso, selari dengan prinsip perlindungan sosial dan kemampanan dana keselamatan sosial untuk masa hadapan.
Bagaimanapun tindakan tersebut telah menimbulkan kritikan pelbagai pihak termasuk Ka Siong yang membangkitkan persoalan tentang tanggungjawab sebenar Perkeso.
Menurut Ka Siong, tindakan Perkeso kebelakangan ini amat berbeza dengan peranannya selama ini iaitu diwujudkan untuk membantu meringankan beban pencarum.
Semalam, Perkeso dalam kenyataannya mengumumkan menarik semula keputusan tersebut berkuat kuasa serta-merta.
Menurut Perkeso, penarikan semula arahan itu membolehkan semua pencarumnya yang layak, termasuk penerima bantuan ilat menerima kemudahan bantuan dialisis secara percuma.
“Selepas mempertimbangkan kebajikan pencarum dan saranan daripada (Yang Berhormat) Menteri Sumber Manusia, Lembaga Perkeso mengambil keputusan untuk menarik balik arahan itu,” menurut kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur.
Keputusan terbaharu itu disifatkan Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam, sebagai satu kemenangan rakyat.
Berikut kenyataan penuh beliau:
Rakyat menang!
Syukur, selepas PH teruk dikecam rakyat mengenai keputusan mengenakan syarat baru menafikan pencarum daripada rawatan dialisis percuma, hari ini Lembaga PERKESO mengambil keputusan untuk menarik balik arahan tersebut dan berkuatkuasa serta merta!
Haha…. Kalau menteri yang ‘menyarankan’ pembatalan syarat baharu demi kebajikan pencarum, sudah lama ia dilakukan dan sudah tentu tiada arahan baharu yang dikeluarkan oleh Perkeso pada 17 Januari 2020.
Jelas sekali, Lembaga Perkeso cuma nak menjaga air muka menteri dan bagi kredit kepada menteri. Kalau bukan desakan rakyat baru-baru ini, mana mungkin Perkeso buat U-turn?
Ini adalah bukti kemenangan rakyat!
Oleh itu, diharapkan rakyat terus bersama-sama pembangkang dalam menyemak imbang kerajaan PH yang terbukti gagal hari ini!
#SemakDanImbang