Politik

Keputusan MKT malam ini penentu masa depan UMNO

SELEPAS keputusan majoriti Bahagian UMNO memutuskan menolak kerjasama dengan Bersatu, kini Majlis Kerja Tertinggi (MKT) perlu memutuskannya malam ini.

Keputusan yang bakal dibuat sangat penting demi menentukan masa depan dan survival parti itu.

Jika MKT memutuskan UMNO untuk keluar dari Perikatan Nasional (PN) dan semua menterinya di dalam Kabinet perlu meletakkan jawatan segera.

Matlamatnya hanya satu iaitu untuk memastikan kerajaan pintu belakang dan tidak absah ini runtuh, dan mandat diserahkan kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu dengan segera.

UMNO tidak harus peduli dengan kesetiaan ahli parlimennya yang telah satu setengah kaki berada di dalam Bersatu khususnya mereka yang berada di dalam Kabinet.

Parti itu juga tidak perlu bimbang dengan pakatan baharu yang bakal dibentuk oleh Pas dan Bersatu demi mempertahankan kerajaan yang tidak absah ini, walaupun Warisan dikatakan bersedia untuk mengorak langkah menjalin kerjasama.

Biarlah pemimpin yang satu setengah kaki telah berada di dalam Bersatu melompat dan berebut jawatan Kabinet, kerana kerajaan ini akan tetap runtuh kerana ia sangat tidak stabil.

Biarlah para pemimpin atasan ini melompat, kerana ahli di peringkat akar umbi terbukti tetap bersama UMNO.

Jangan menunggu lebih lama dengan memberi tempoh sehingga akhir bulan ini untuk perhimpunan agung bagi memutuskannya kerana ia memberi ruang kepada pihak lain dan pemimpin satu setengah kaki di dalam Bersatu ini bergerak dan berunding.

Sehari sahaja sudah cukup lama, apatah lagi UMNO jika membiarkan ia berlarutan sehingga sebulan. Menteri di dalam Kabinet perlu meletakkan jawatan dengan segera.

Jika mereka melompat, ahli akan menghukum mereka apabila pilihan raya berlangsung.

UMNO juga tidak seharusnya bersekongkol dengan mereka yang suka menikam dari belakang iaitu Bersatu dan mereka yang suka menikam berdepan iaitu Pas.

Dua parti ini jika dibiarkan berdua mereka akan mati kerana bertikam sesama sendiri sahaja.

Pas pasti berang apabila Bersatu terpaksa menunggang jentera parti berkenaan kerana Bersatu yang baharu berusia setahun jagung tidak mempunyai akar umbi dan jentera.

Itulah yang dibuat oleh Bersatu dek kerana mereka menjadi kerajaan tanpa ikatan manifesto dan sebagainya, sebaliknya dengan hanya memasuki pintu belakang, jadi mereka menggunakan masa yang ada untuk membeli ahli dan pemimpin UMNO, bahkan pemimpin Pas juga mahu diumpan.

UMNO juga tidak seharusnya membiarkan tangan mereka diikat ke belakang dengan slogan No Anwar, No DAP.

Dua slogan itu menyebabkan kedua-dua tangan parti itu dikilas dan diikat ke belakang sehingga mereka tidak mempunyai banyak pilihan.

UMNO tidak lagi boleh bermain dengan politik sentimen, tetapi lebih kepada politik yang realistik dan dinamik.

Selepas pelbagai perkahwinan kerjasama parti politik termasuk Pas kahwin DAP, Bersatu kahwin DAP, PKR kahwin DAP, apa salahnya UMNO mencuba pasangan baharu DAP.

Lebih sempurna lagi UMNO berpasangan dengan PKR sekali. Gabungan tiga parti yang dominan ini akan membentuk kerajaan yang kukuh dan mampu bertahan sekurang-kurangnya tiga penggal lagi.

DAP sendiri pastinya terbuka tangan untuk bekerjasama dengan UMNO kerana mereka sedar PKR sudah habis diperah madunya, kini tinggal sisa-sisa sahaja.

Begitu juga dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan parti yang belum berjaya didaftarkan Pejuang, sudah menjadi sejarah, walaupun negarawan itu menjadi aset utama ketika Pakatan Harapan (PH) menang pada pilihan raya umum yang lalu.

UMNO perlu menjadikan sasaran jangka pendek ialah untuk kembali berkuasa, tetapi bukan dengan Bersatu yang sedang membunuh UMNO dari dalam.

Sasaran jangka panjang ialah pilihan raya ke-16, setelah UMNO benar-benar kukuh. UMNO sukar untuk menjadi kukuh jika tidak mempunyai kerajaan.

Jika UMNO berjaya membentuk kerjasama dengan DAP dan PKR, pastinya Pas sendiri akan meninggalkan Bersatu. Pas memang terkenal dengan sikap tidak setianya.

Mereka akan mengeluarkan juga apa sahaja logika untuk mereka meninggalkan Bersatu sebagaimana sebelum sebelum ini. Ahli Pas pula tidak akan membantah dan mereka akan akur.

Mengapa dibimbangi soal pilihan raya dijalankan semasa penularan wabak Covid-19, sedangkan negara jiran Singapura telah menjalankan pilihan raya tahun lalu ketika penularan memuncak, begitu juga beberapa buah negara lain termasuk Amerika Syarikat.

Apa yang perlu dibuat hanya melaksanakan pilihan raya dengan norma baharu iaitu mematuhi prosedur standard bagi mengelakkan jangkitan wabak tersebut.

Tetapi ramai yang saya temui berpendapat UMNO tidak akan mempunyai keberanian untuk membuat keputusan drastik malam ini. Maka jika itu berlaku, UMNO hanya menembak kaki sendiri dan menggali kuburnya sendiri dan batu nisannya akan dipacak oleh Bersatu.

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button