Keputusan dibuat tanpa pengaruh bapa, anak Annuar Musa
Kota Bharu: Bekas Ketua Pemuda Umno Ketereh, Afiq Amani Annuar menjelaskan tindakannya yang keluar parti itu dibuat atas kerelaannya sendiri tanpa dipengaruhi oleh pihak lain termasuk bapanya.
Beliau yang juga anak kepada Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa sebaliknya berkata, tindakannya itu diambil susulan perjuangan Umno sudah tidak selari dengan perjuangan asal.
Katanya, susulan peletakan jawatan dan keluar dari Umno, beliau tidak menyertai mana-mana parti termasuk Pas, sebaliknya mahu berehat daripada politik, namun akan memberi sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).
“Selepas beberapa bulan menjadi Ketua Pemuda Umno Ketereh, saya menggalas tanggungjawab berkenaan namun pada masa sama saya melihat Umno banyak lari dari perjuangan asal.
“Perkara yang nyata apabila Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mempertahankan kenyataan Lim Guan Eng yang jelas berbaur perkauman.
“Selain itu, Umno dilihat mengenepikan rakan-rakan dalam parti sebaliknya menjulang rakan baru seperti DAP,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini, lapor Harian Metro.
Mengulas lanjut, beliau berkata, atas beberapa faktor berkenaan menyebabkan beliau tidak mempunyai semangat untuk terus berada dalam Umno.
“Saya sudah dewasa dan tidak dipaksa oleh sesiapa atas tindakan yang dibuat hari ini termasuk bapa. Jika benar saya mahu mengikut perjuangan bapa, saya sudah keluar parti dari awal,” katanya.
Terdahulu, Annuar mengumumkan jawatankuasa Umno Cabang Tiga Haji Musa terbubar selepas 20 kepimpinannya mengumumkan peletakan jawatan, hari ini.
Ia termasuk Afiq Amani yang juga Ketua Pemuda Cabang berkenaan dan pengerusi tetap serta timbalan pengerusi tetap.