Politik

Kenyataan Istana Negara 6 petang tiada kaitan dengan Anwar

SPEKULASI kononnya kenyataan Istana Negara pada pukul 6 petang hari ini ada kaitan dengan pengumuman Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mendapat sokongan untuk membentuk kerajaan ternyata meleset.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin sepanjang 10 perenggan itu tidak langsung menyebut nama Anwar ataupun pengumuman yang dibuat oleh Anwar mendapat sokongan ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan.

Beberapa media dalam talian sebelum ini membuat spekulasi selepas mendapat pesanan ringkas bahawa Istana Negara akan mengeluarkan kenyataan pada pukul 6 petang.

Sebuah portal menulis tajuk,’Kenyataan Istana Negara petang ini, mungkinkah isu Anwar?’.

Sebuah lagi portal membuat rumusan, “Pegawai istana yang dihubungi juga enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai perkara itu.”

“Dipercayai kenyataan berkenaan mungkin berkaitan perkembangan kesihatan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atau mengenai perkembangan terbaru politik di negara ini.

Media sebelum ini melaporkan Anwar sepatutnya dijadualkan menghadap Al-Sultan Abdullah pada 22 September lalu, namun terpaksa dibatalkan susulan Yang di-Pertuan Agong gering dan menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Ahli Parlimen Port Dickson itu dilaporkan ingin menghadap baginda, dipercayai untuk menyembah maklum mengenai perkembangan politik negara, dengan mendakwa bahawa beliau mempunyai majoriti kukuh dan meyakinkan daripada ahli Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan baharu.

Pada Jumaat lalu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dilaporkan berkata Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah, tidak memperkenankan sesiapa untuk menghadap dalam masa seminggu kerana baginda masih dalam pemerhatian doktor.

Susulan keadaan gering itu, baginda dinasihatkan doktor untuk berada di hospital selama tujuh hari bagi tujuan pemantauan.

Dalam kenyataan sebentar tadi Ahmad Fadil memberitahu Yang di-Pertuan Agong kini dalam keadaan stabil selepas menjalani rawatan keracunan makanan dan intervensi di Institut Jantung Negara (IJN).

Istana Negara dalam satu kenyataan berkata, Al-Sultan Abdullah dijadualkan berangkat pulang bersemayam di Istana Negara dalam masa terdekat selepas selesai menjalani rawatan susulan.

Menurut kenyataan itu, rawatan keracunan makanan bermula apabila Al-Sultan Abdullah dimasukkan ke IJN pada malam 21 September lalu.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button