Nasional

Kencing tikus: seorang maut, empat masih dirawat di HSNZ

SEORANG lelaki berusia 29 tahun meninggal dunia disyaki akibat kencing tikus (Leptospirosis) manakala empat lagi mangsa masih dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terangganu.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr. Nor Azimi Yunus berkata lelaki itu yang berasal dari Dungun dimasukkan ke HSNZ pada 5.30 petang, Ahad lepas dan meninggal dunia pada 1.20 pagi semalam ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSNZ.

“Sehingga hari ini, empat pesakit lain itu yang berumur lingkungan 30 hingga 32 tahun semuanya berada dalam keadaan stabil.

“Kesemua mereka (termasuk kes kematian) menunjukkan gejala-gejala menyerupai gejala penyakit Leptospirosis seperti demam, sakit sendi (arthralgia), sakit otot (myalgia), cirit-birit dan muntah. Namun begitu, pihak jabatan masih lagi menunggu pengesahan ujian makmal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hasil siasatan mendapati kesemua mereka dipercayai mempunyai sejarah melakukan aktiviti rekreasi di Lubuk Sungai Kerawat, Jerantut di Pahang pada 1 hingga 4 Jun lepas bersama sembilan lagi individu lain.

Related Articles

Dr Nor Azimi berkata jabatan kesihatan masih lagi menjalankan siasatan dan pengesanan kes bagi individu lain yang telah menyertai aktiviti rekreasi itu.

Katanya, Leptospirosis adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh patogen Leptospira, yang boleh berjangkit secara langsung atau tidak langsung daripada haiwan kepada manusia. Bakteria Leptospira boleh terdapat di dalam air kencing haiwan yang dijangkiti seperti tikus, kucing, lembu, kambing, kuda dan haiwan lain.

“Antara tanda dan gejala jangkitan ialah demam menggigil, sakit kepala, sakit otot, muntah, jaundis (penyakit kuning), radang mata, sakit perut, cirit-birit, batuk dan ruam pada kulit.

“Manusia boleh dijangkiti sekiranya terdedah atau kontak secara langsung dengan air yang tercemar dengan kencing haiwan yang dijangkiti atau mengambil makanan atau minuman yang tercemar dengan air kencing haiwan yang dijangkiti,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap orang ramai lebih peka dengan persekitaran rumah, premis makanan dan tempat rekreasi agar bebas daripada tikus dan haiwan perosak yang lain manakala sampah dan sisa makanan perlu dibuang secara sempurna.

“Elakkan daripada melakukan aktiviti riadah di tempat yang berpotensi dicemari seperti berkelah dan berenang di kolam atau sungai yang tidak diselenggara dengan sempurna.

“Elakkan daripada berenang atau bermain air di kawasan air bertakung atau aliran air sungai yang perlahan serta minum air sungai atau kolam yang tidak dimasak,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Dr Alias Razak menasihatkan orang ramai agar tidak mandi-manda atau berkelah di sungai dan kawasan hutan lipur di Terengganu buat masa ini.

“Walau sudah ada kelonggaran diberi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan ini, kita berharap orang ramai sentiasa berhati-hati dalam menjaga keselamatan mereka termasuk tidak berkelah di tempat tumpuan ramai untuk mengelak perkara seperti ini terjadi,” katanya.- BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button