Kenapa Main Silat Ada Yang Kena Buka Bunga? Ini Penjelasan Yang Ramai Melayu Abaikan!
Sesungguhnya budaya Melayu sungguh tinggi, sopan dan luar biasa sabarnya. Bunga yang terkandung dalam silat adalah kaedah bagaimana orang Melayu itu mengawal kemarahan, berunding, turunkan ego, cari penyelesaian dan akhirnya berhenti setelah dua-dua pihak mencapai kesepakatan.
Itu tujuan asal bunga silat dan ia terpakai pada pemilik ilmu silat yang ada jati diri Melayu dan meletakkan Islam sebagai tauhid diri, menundukkan amarah dan seboleh-bolehnya tidak perlu tercetusnya pergaduhan kerana silat adalah untuk pertahanan diri, bukan menyerang tanpa sebarang akal.
Namun apabila bertembung dengan babi yang sedang gila, rakus menyondol tanpa sempat membuka bicara, pesilat Melayu itu tidak bodoh, menunggu diri disondol dengan sia-sia, maka dari sinilah praktiknya amalan mempertahankan diri tanpa bunga. Akhirnya babi yang sedang gila terpaksa dipatahkan serangannya, pesilat Melayu harus kawal keadaan dan rasa amarah yang ada.
Maka.. perlukah ada bunga dalam silat? Sememangnya perlu sebagai tanda ukhwah yang Melayu lebih gemar mencari titik perdamaian, bukan mahu tunjuk siapa kuat, siapa ganas.
Jika bunga sekadar dicipta dalam silat untuk tunjuk menunjuk dan nampak cantik, ia seperti kurang tepat dengan falsafah Melayu itu sendiri. Hatta tanjak, destar, sampin sekali pun, ada maksudnya yang tersendiri, bukan dicipta Melayu untuk nampak cantik sebagai aset kepada busana.
Jika merasakan bunga itu tidak perlu, baik terus tumbuk tanpa ada berunding, baik kita guna senjata api dan ikut falsafah barat yang tidak bertauhidkan Allah SWT dalam setiap amalan pergerakannya.
Benar.. buka bunga itu, untuk tidak kakukan pergerakan, jadikan kita sentiasa bersedia, mampu menepis jika diserang, itu dari segi zahir, yang boleh buat dan yang boleh nampak, yang tersurat.
Namun yang tersirat, yang batin, yang dalamnya, merujuk kepada perenggan di atas iaitu melahirkan seorang pesilat yang tahu bergerak dalam keadaan yang rasional setelah berfikir baik buruk dan sebagainya.
Apa-apa pun, pendekatan ini adalah subjektif. Takkanlah kalau nak bermain silat bersama rakan berbeza aliran, sampai wujudnya dendam kesumat, rasa amarah yang melampau. Sudah pasti ia jadi satu senda gurau yang menyihatkan, tetap eratkan silaturrahim.
Tetapi kalau dilihat pada skop besar, jangan disebabkan pendidikan nasional memisahkan agama daripada kehidupan sehingga jadi sekular, maka seni silat juga perlu ikut acuan yang serupa iaitu hanya mahu kuat, tangkas dan indah pada zahir.
Jaga dan peliharalah silat agar segala pergerakan kita kembali bertauhidkan Allah SWT. Silat itu jati diri orang Melayu, terkandung akidah yang jelas namun sayang, jika bukan sultan atau raja Melayu tidak baiahkan pesilat Melayu sebagai barisan penjaga negara ketiga selepas PDRM dan ATM.
Pencinta seni silat. Pencinta kedamaian. Bukan pencinta silat aku lebih hebat daripada kau. Allah yang mengizinkan pergerakan, bahkan mati juga akan disoal mengapa terus menjurus, menumbuk tanpa rundingan damai. Wuallahualam!