Kenapa Madani tak boleh menang pilihan raya?
APABILA Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata jika pilihan raya diadakan sekarang, kerajaan Madani akan menang, ramai yang mempertikaikannya.
Sudah tentu yang paling rancak mempertikaikannya adalah pihak pembangkang atau dari Perikatan Nasional (PN). Mereka berhujah pelbagai hal tanpa mencermin diri sendiri.
Kerajaan hari ini memang tidak berada pada tahap yang paling selesa, kerana situasi itu tidak akan wujud lagi selepas berlaku reformasi politik selepas tumbangnya Barisan Nasional (BN). Bagaimanapun dengan kedudukan sekarang dan pembangkang begitu lemah sudah tentu kelebihan adalah kepada kerajaan. Hubungan Pas dan Bersatu dilihat semakin retak.
Kerajaan diterajui Anwar berjaya melaksanakan pelbagai perkara yang tidak mampu dan tidak berani dilaksanakan oleh kerajaan-kerajaan sebelum ini, menghapuskan subsidi diesel dan bakal melaksanakan subsidi petrol bersasar dan barang-barang lain.
Selepas pelaksanaan tersebut rakyat dapat menerimanya kerana sedar ia terpaksa dilakukan bagi menyelamatkan kewangan negara yang kritikal selepas kerajaan terdahulu terlalu banyak memberi subsidi kepada rakyat ketika pandemik Covid-19, serta pasca pandemik.
Pembangkang paling kuat adalah ketika diterajui Anwar sendiri yang memilih untuk bergabung dengan DAP dipimpin oleh Lim Kit Siang.
Kerajaan juga telah menaikkan gaji kakitangan awam termasuk yang pencen dan menaikkan gaji minimum sebagai penampan kepada kenaikan kos sara hidup yang dampak daripada perubahan ekonomi global serta perubahan iklim.
Anwar juga bijak merangkul para pemimpin yang berpengaruh untuk bersama-sama dengannya secara terang-terangan atau secara diam. Ini dapat dilihat bagaimana Anwar yakin untuk ke luar negara selama berbulan tanpa bimbang berlaku rampasan kuasa atau undi tidak percaya.
Anwar juga bijak memainkan peranan dalam memastikan tidak ketinggalan dalam bekerjasama dengan BRICS dan Amerika Syarikat, serta China.
Dengan kedudukan politik yang stabil, ia akan menarik pelabur masuk ke negara ini dan ini akan membantu memulihkan ekonomi dengan lebih cepat.
Dan yang penting rakyat semakin boleh menerima kepimpinan Anwar serta memahami situasi yang dihadapi negara dan sedar akan peranan masing-masing dalam memastikan kesejahteraan negara ini.