Pengusaha restoran di Bandar Hilir kian resah berikutan kenaikan
mendadak harga cili kering, bawang besar, bawang kecil, bawang Holland dan halia naik secara mendadak minggu ini.
Paling mengejutkan buat pengusaha terbabit berikutan kenaikan harga cili kering import yang disifatkan tidak masuk akal.
Tinjauan Utusan Malaysia di salah sebuah kedai pemborong di Malim yang menjadi tumpuan pengusaha restoran membeli pelbagai jenis barangan mendapati harga melonjak terlalu tinggi.
Cili kering China dijual dengan harga RM138 bagi 5 kilogram (kg), cili kering India (RM160) bagi 9 kg, cili kering India jenis monyel (RM220) bagi 9 kg dan cili kering India jenis ikan (RM260) bagi 10 kg.
Selain itu bawang Holland dijual pada harga RM60 bagi 13 kg, halia dari Thailand (RM100) bagi 10 kg, halia dari Indonesia (RM120) untuk 10 kg.
Pengusaha Asam Pedas Selera Kampung, Saharudin Mohd. Nor, 56, berkata, dia amat terkejut apabila mendapati barangan yang diimport mengalami kenaikan yang tidak masuk akal.
Menurutnya, paling ketara apabila cili kering yang dibeli sebanyak empat guni mencecah harga RM1,040 itu tidak termasuk bawang besar, bawang kecil dan pelbagai bahan mentah lain.
“Selalu barang mentah ini saya order dan tidak tengok trend harga tetapi semalam saya pergi membeli barang dan terkejut melihat banyak bahan mentah naik dengan harga yang tak terjangkau fikiran bila dapat bil.
“Bila saya tanya pemborong, dia cakap harga naik disebabkan faktor cuaca di China, India, Thailand dan Indonesia selain kejatuhan nilai ringgit. Harga bahan mentah ini dijangka naik lagi minggu depan,” ujarnya di sini hari ini.
Saharudin berkata, kenaikan itu tidak menyebabkannya ingin menaikkan harga makanan walaupun mengakui terkesan dan membebankannya.
“Bila cili kering naik harga tak masuk akal, pening juga berniaga asam pedas dan mungkin tak lama lagi kuah lagi mahal dari ikan yang dijual,” ujarnya.
Seorang lagi pengusaha Asam Pedas TJ di Plaza Mahkota Haliza Kamaruddin, 56, berkata, dia juga amat terkejut dengan kenaikan mendadak harga cili kering dan beberapa bahan mentah lain.
Katanya, kebiasaannya dia membeli cili kering seguni dengan harga RM100 tetapi dua minggu lepas harga bahan itu naik sebanyak RM260 seguni.
Menurutnya, itu tidak termasuk harga bahan mentah lain seperti bawang besar, bawang merah dan putih yang menjadi bahan utama masakan mereka turut mengalami kenaikan antara 30 hingga 40 peratus.
“Situasi ini sangat menjejaskan perniagaan saya kerana harga makanan masih lagi dijual pada harga lama. Saya tak cadang nak naikkan harga sebab tak mahu bebankan pelanggan,” katanya. – SM