KEMAS masih meneruskan agenda pembasmian buta huruf di luar bandar
SERAMAI 71 orang kakitangan KEMAS Negeri Sarawak termasuk 30 orang tenaga pengajar yang dilantik secara sukarela telah menghadiri kursus orientasi Pendidik Masyarakat Literasi Untuk Pendidikan Kelas Dewasa (LEADS).
Kelas Pendidikan Literasi Fungsian (PLF) atau Kelas Membasmi Buta Huruf di Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) telah bermula dengan penubuhan Bahagian Pelajaran Dewasa sejak 1961. Pada tahun 1963, KEMAS telah memperluaskan program ini di Sabah dan Sarawak pula. Sehingga kini KEMAS adalah satu-satunya agensi yang masih melaksanakan kelas pembasmian buta huruf khususnya di kawasan luar bandar.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah Operasi KEMAS, Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi kursus selama 3 hari yang bermula sejak 30 Mac 2022 ini adalah sebagai persediaan dengan memberi latihan kepada Pendidik Masyarakat Tabika KEMAS di Sarawak yang akan mendidik kelompok dewasa menguasai 3M (Menulis, Mengira dan Membaca).
“Latihan ini adalah penting agar Pendidik Masyarakat KEMAS dibekalkan segala kemahiran mendepani cabaran selama 3 bulan untuk memastikan masyarakat dewasa khususnya di Sarawak ini dapat mengikuti kelas-kelas dewasa yang KEMAS anjurkan.
“Sebagai kakitangan KEMAS kita perlu berazam dan berbangga kerana KEMAS satu-satunya agensi yang masih terlibat secara langsung untuk membasmi buta huruf di kalangan masyarakat dewasa”. kata beliau ketika meninjau pelaksanaan Kursus Orientasi Pendidik Masyarakat TABIKA Bagi Pemantapan Kelas Literacy for Adult Skills’ (LEADS) dan Program Literasi Fungsian 2.0 (PLF 2.0) Negeri Sarawak Tahun 2022.
Prof Madya Dr. Zaimuaffuddin Shukri Nordin, dari Fakulti Sains Kognitif & Pembangunan Sumber Manusia, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) turut dijemput untuk memberikan taklimat kepada para peserta bengkel.
KEMAS mensasarkan seramai 1,800 orang akan menerima manfaat dari pelaksanaan program LEADS dan PLF 2.0 ini. – SM
Baca juga > Pusat Latihan KEMAS Kepala Batas kembali beroperasi