Nasional

Kemalangan maut di Simpang Pulai: Pengendali lori treler diberi surat tunjuk sebab

11 Ogos lalu, 7 termasuk 2 kanak-kanak maut

SATU surat tunjuk sebab dikeluarkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) kepada pengendali lori treler yang terlibat dalam kemalangan maut meragut nyawa tujuh sekeluarga termasuk dua kanak-kanak pada 11 Ogos lalu.

Kemalangan itu meragut tujuh nyawa sekeluarga manakala tiga lagi cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza yang mereka naiki bertembung dengan lori treler di Jalan Keramat Pulai, Simpang Pulai.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, pengendali lori treler itu perlu menjawab surat tunjuk sebab tersebut dalam tempoh tiga hari.

“Setelah menerima jawapan daripada pengendali tersebut, APAD akan mengumpul syor melalui Jawatankuasa Pelesenannya mengenai tindakan yang wajar diambil terhadap pengendali itu.

“Syor itu akan dikeluarkan pada 17 Ogos nanti,” kata Ka Siong dalam kenyataannya semalam.

Menurut Ka Siong lagi,  tindakan itu disusuli dengan sesi Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) oleh cawangannya di Perak pada 12 Ogos lalu.

Beliau berkata, Kementerian Pengangkutan memandang serius kemalangan jalan raya dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pengguna jalan raya yang melanggar peraturan seperti di peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 (Akta 333).

Keselamatan pengguna jalan raya dan pengendali pengangkutan awam darat adalah keutamaan kementerian, kata Ka Siong.

“Berdasarkan syarat-syarat lesen, semua pengendali pengangkutan awam darat dikehendaki mematuhi standard keselamatan paling tinggi yang membabitkan kenderaan mereka,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Beliau menambah, kementerian juga tidak akan bertolak ansur dengan sebarang pelanggaran standard serta amalan keselamatan.

“Dan pengendali yang gagal berbuat demikian bakal berdepan tindakan perundangan sedia ada sepenuhnya,” ujarnya.

Kementerian, tegas Ka Siong, tidak akan teragak-agak membatalkan lesen pengendali serta permit kenderaan selain mengambil tindakan pentadbiran dan mahkamah terhadap pengendali yang melanggar peraturan keselamatan seperti yang terdapat dalam lesen pengusaha. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button