Kemajuan ekonomi tidak semesti hanya berlandaskan sains- Zafrul
KEMAJUAN ekonomi tidak semestinya hanya berlandaskan pembangunan sains dan teknologi, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abd Aziz.
Katanya, malah ia turut didukung evolusi seni dan budaya sesebuah negara.
Sehubungan itu beliau mengucapkan tahniah kepada Persatuan Ekonomi Universiti Malaya (PEKUMA) di atas kejayaan pameran Artconomics.
“Pameran ini memaparkan hubungan dinamik antara ekonomi dan seni yang mempengaruhi dan menyokong satu sama lain.
“Seni bukan sahaja tentang budaya, tetapi juga tentang bagaimana industri seni boleh memacu ekonomi.
“Sebagai contoh, kita boleh lihat Korea Selatan. Apabila industri seni berkembang dari K-pop, filem dan drama hinggalah kepada pelancongan, makanan dan minuman, maka seni itu sendiri mampu menjadi pemacu ekonomi sesebuah negara.
“MITI sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan pihak yang bertanggungjawab seperti MOTAC untuk mengeksport seni kita ke luar negara. Persoalannya, apa yang telah dan boleh kita lakukan untuk mengembangkan industri seni kita ke tahap yang lebih tinggi,” katanya dalam hantaran di X.
Sementara itu Tengku Zafrul hari ini meluangkan masa bersama-sama pelajar Universiti Malaya termasuk menyertai Larian Batik. – SM