Luar Negara

Keluar masuk Singapura: Rakyat M’sia perlu kemuka notis 7 hari

RAKYAT Malaysia dan penduduk tetap memegang pas kerja Singapura yang dibenarkan menggunakan kemudahan Pengaturan Ulang-Alik Berkala (PCA) perlu mengemukakan notis kuarantin di rumah selama tujuh hari sebelum memasuki negara itu.

Channel News Asia (CNA) melaporkan, antara lain mereka juga perlu menjalani saringan Covid-19.

Itu adalah antara peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang diperincikan dalam laman web rasmi Jabatan Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) republik itu hari ini.

Ia berikutan kesepakatan antara kedua-dua negara untuk pembukaan perjalanan rentas sempadan secara bersyarat mulai 10 Ogos depan.

Menerusi PCA, penduduk kedua-dua negara yang memegang pas imigresen jangka panjang dibenarkan merentas sempadan untuk tujuan perniagaan dan pekerjaan

Bagaimanapun, mereka diwajibkan tinggal sekirang-kurangnya 90 hari sebelum pulang ke tanah air masing-masing untuk cuti jangka pendek.

Menurut laman web itu, individu di bawah pengaturan ini hanya dibenarkan melakukan pergerakan keluar masuk melalui dua pusat pemeriksaan darat iaitu Woodlands atau Tuas.

Antara lain, pemohonan PCA yang akan dibuka mulai tengah hari 10 Ogos depan perlu dikemukakan oleh majikan yang mewakili pekerja mereka sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum tarikh kemasukan.

Sementara itu bagi skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) untuk urusan perniagaan dan urusan rasmi pula dibenarkan untuk tinggal sehingga 14 hari.

ICA memberitahu, mereka perlu memohon pas SafeTravel dan perlu ditaja oleh syarikat atau agensi kerajaan yang berpangkalan di Singapura.

“Mereka yang memasuki Singapura menerusi skim PCA perlu mengemukakan notis kaurantin di hotel, servis apartmen atau rumah yang hanya diduduki seorang dan tidak dibenarkan menggunakan pengangkutan awam seperti bas dan kereta api ,” katanya.

Katanya, mereka hanya dibenarkan memulakan kerja selepas disahkan negatif Covid-19. – ASTRO AWANI – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button