Kejohanan golf amal SAY berjaya kumpul dana RM1.2 Juta untuk sokong belia berisiko
BAGI mengumpul dana untuk menyokong belia yang berisiko khususnya di Selangor, Selangor Youth Community (SAY) dengan kerjasama Titijaya Land Berhad dan Selangor Football Club telah menganjurkan kejohanan golf amal bertempat di Tropicana Golf & Country Resort pada Sabtu lepas.
Majlis ini dirasmikan oleh D.Y.T.M. Tengku Amir Shah, Raja Muda Selangor dan Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari yang turut menjadi penaung diraja SAY. Kejohanan ini bukan sekadar mempamerkan aksi golf mendebarkan, tetapi juga mencerminkan komitmen terhadap perubahan positif dalam kehidupan belia Malaysia.
Sebanyak 132 pemain daripada sektor kerajaan dan swasta menyertai kejohanan ini, dengan suasana meriah di padang Tropicana Golf & Country Resort. Sumbangan mereka memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan Program di bawah SAY.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SAY, Aiman Syafiq, ini merupakan penganjuran kali kedua selepas kejayaan tahun lalu yang berjaya mengumpul RM800,000. Tahun ini, jumlah dana yang dikumpulkan meningkat kepada RM1.2 juta dengan seramai 136 penyertaan yang mewakili 30 syarikat.
“Sebagai NGO, kami memerlukan dana untuk melaksanakan program-program kami. Kejohanan ini bukan sahaja platform mencari dana tetapi juga peluang pemain berinteraksi bersama Tuanku Muda Raja Selangor.
“Dana ini untuk membantu belia berisiko seperti bekas penagih dadah dan bekas banduan. Kami akan melaksanakan program selama dua bulan yang memberi mereka kemahiran seperti komunikasi, kepimpinan (leadership), dan yang paling penting, membantu mereka bersosial secara positif.” katanya.
Program ini juga kerjasama dengan The King’s Trust International, di bawah naungan D.Y.M.M. Raja Charles III, inisiatif ini telah memberi kesan yang baik kepada 353 belia dalam tempoh tiga tahun terakhir.
SAY berharap dapat mencapai lebih ramai belia dalam usaha membina masa depan yang lebih cerah melalui pendidikan dan pemerkasaan berstruktur selama enam bulan selepas program.
Dengan harapan untuk membuka potensi belia yang berisiko, kejohanan ini adalah bukti kuasa kebaikan bersama yang mampu membawa perubahan positif dalam masyarakat, satu kehidupan belia pada satu masa.