
Keharmonian beragama asas hidup bermasyarakat – Raja Muda Perlis
PADANG BESAR – Keharmonian beragama adalah salah satu asas penting dalam kehidupan bermasyarakat.
Di dunia yang semakin maju ini, cabaran kita bukan hanya terletak pada pembangunan fizikal, tetapi juga pada pembangunan sosial dan spiritual.
Oleh itu, sebagai umat Islam, kita harus berpegang teguh kepada prinsip saling menghormati dan menyayangi antara satu sama lain.
Agama Islam itu sendiri telah mengajar kita untuk hidup dalam kedamaian dan keharmonian dengan sesama umat manusia, tanpa mengira latar belakang agama, bangsa mahupun negara. Kasih sayang dan saling menghormati adalah ‘kunci’ kepada keharmonian hidup.
Kita semua hendaklah terus berusaha membina keharmonian dan keamanan dalam masyarakat. Semoga Allah SWT memelihara kita semua dan memberi kekuatan dalam setiap langkah perjuangan kita demi kemajuan Ummah di rantau ini..
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyempurnakan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Masjid Musafirin, Pekan Siam Padang Besar, di daerah Sadao, wilayah Songkhla, Thailand baru-baru ini.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Imam masjid tersebut, Hj. Ahmad Ibrahim, serta barisan pengurusan.
Masjid yang turut dikenali sebagai Musafirin Alpattanah Mosque ini bukan sekadar pusat ibadah utama bagi komuniti Muslim setempat, malah menjadi persinggahan para pelancong yang melintasi sempadan Malaysia-Thailand.
Terletak berhampiran Stesen Kereta Api Padang Besar, Thailand, lokasi strategiknya menjadikannya mudah diakses oleh jemaah dan pengunjung.
Sumbangan yang disampaikan ini adalah bersempena dengan program MAIPs Peduli di sekitar Padang Besar Utara di sebelah Perlis, Malaysia terdahulu daripada itu..
Tuanku Syed Faizuddin Putra kemudiannya turut diiringi sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil meluangkan masa singgah melawat dan membeli juadah berbuka puasa di Bazar Ramadan Padang Besar, Thailand.
FOTO