Merrepak
`Keep Calm and Carry On’ – Kisah Benar
- SERABUT juga kepala ketika kita semua baharu tiga hari berpuasa. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti diduga, dilanjutkan ke fasa ke-4. Tidak apalah, sebab wabak Covid-19 kita akur sahaja. Sekarang semua jangka kita akan sambut Aidilfitri secara sendirian berhad juga.
- Ada yang bertanya, paras apakah kerajaan akan beri kelonggaran besar, kerana sekarang kes baharu harian adalah di bawah angka 100, kadang-kadang lebih 50 sahaja tetapi kelihatan angka ini turun-naik. Ada yang kata kerajaan tunggu sehingga sekadar 10 kes sehari baharu boleh mulakan kelonggaran PKP.
- Mengira, menduga dan meramal bilangan kes ini memang serabut. Jadi, anda disaran berhenti.
- Terbaca pula al-kisah `pertembungan’ dua ustaz berhubung persoalan memberi bantuan kepada golongan asnaf. Dalam hati rasa hendak menjerit. “Ini kecik punya hal pun mahu bising,’’ kata P.Ramlee dalam filem Seniman Bujang Lapok.
- Sampai libatkan polis, sampai ustaz merajuk, sampai jadi serabut. Apalah salahnya ustaz buat kerja ikut cara masing-masing, kenapa perlu jadi serabut? Kenapa sampai polis campur tangan, adakah berlaku kes jenayah?
- Serabut politik ada sikit saja. Ahli Parlimen DAP, Ong Kian Ming mengisi waktu lapangnya semasa PKP ini dengan menjadi penganalisis Perikatan Nasional (PN) dengan mengenengahkan kedudukan UMNO yang dikatanya `dalam dilema’.
- Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Mohamad Hasan menjawab Kian Ming bahawa tidak wujud isu UMNO `dalam dilema’ kerana parti itu tidak pernah menyertai PN, sebaliknya hanya satu persefahaman bagi menyelamatkan Malaysia kerana kemelut politik yang dicetuskan sendiri oleh kelompok tertentu dalam Pakatan Harapan (PH).
- Maknanya, jika tiada sesiapa kemaruk berebutkan jawatan Perdana Menteri dari tangan Tun Dr. Mahathir Mohamad, Malaysia hari ini masih dibawah pentadbiran kerajaan PH. Maknanya, PH telah diberi peluang memerintah tetapi terbukti mereka gagal sama sekali. Serabut lagikah?
Keep Calm
- Baiklah seperti dijanjikan pada tajuk Merrepak hari ini, saya kongsikan dengan anda kisah benar mengenai slogan poster yang kita kerap nampak iaitu `Keep Calm and Carry On’ dengan imej mahkota di atas ayat. Betul, ia berasal dari United Kingdom.
- Menurut tulisan Steve MacGregor, pada tahun 2000 sepasang suami isteri membeli sekotak buku lama di sebuah lelongan. Stuart Manley dan isterinya, Mary menjual buku terpakai bernama Barter Books di Alnwick, Northumberland. Di kedai, Stuart menemui sekeping poster pada bawah kotak.
- Tertera perkataan `KEEP CALM AND CARRY ON’ pada poster berwarna merah dan imej mahkota. Stuart dan Mary langsung tidak tahu hujung pangkal kisah poster itu tetapi mereka menyukainya dan menggantungnya pada kedai mereka.
- Pelawat-pelawat ke kedai turut menyukai poster itu dan meminta untuk membelinya. Ini mendorong untuk mencetak salinan pada 2001 dan menjualnya. Pada 2008, UK berdepan dengan krisis ekonomi dan tiba-tiba poster ini menjadi popular disebabkan latar belakang ekonomi semasa ketika itu.
- Ia menjadi sesuatu yang dilihat merata-rata tempat, ditiru, diubah suai, daripada cawan sehinggalah ke beg plastik membeli-belah.
- Pada ketika itu jugalah, orang mula bertanya asal-usul poster ini dan didapati, ia berpunca daripada satu lagi zaman krisis besar di dalam sejarah Britain iaitu Perang Dunia Kedua.
Isytihar Perang
- Diringkaskan cerita, poster ini adalah hasil ciptaan Kementerian Penerangan Britain yang ditubuhkan sehari selepas pengisytiharan perang oleh Britain terhadap Nazi Jerman pada 3 September 1939.
- Ia bertujuan untuk mengekalkan moral dan semangat rakyat Britain ketika itu yang berdepan dengan serangan bom dari tentera udara Nazi. Mesejnya, kepala jangan serabut.
- Daripada sebilangan poster yang dihasilkan semasa perang, poster Keep Calm and Carry On ini dilaporkan telah dicetak sebanyak 2 juta naskah tetapi satu pun tidak diedarkan!
- Poster ini disimpan dan hanya diedarkan bila pengeboman tentera Nazi mengakibatkan kegawatan besar dalam kalangan masyarakat Britain atau dalam kes paling teruk, Nazi mula menakluk England.
- Sejarah menunjukkan kedua-dua penanda aras itu tidak berlaku, dan poster tersebut langsung tidak diedarkan kepada orang ramai. Pada 1940, poster ini dikitar semula disebabkan Britain menghadapi kekurangan kertas.
- Tiada siapa akan tahu perihal poster ini jika tidak ditemui sekeping poster di dalam kotak buku lama yang berhabuk di Northumberland pada tahun 2000.
Tak masuk akal
- Jadi pembaca Merrepak sekalian, janganlah serabut masa PKP Covid-19 ini. Teruskan kehidupan sebaik mungkin. Bila serabut, mulalah kelahi pasal benda-benda tak masuk akal seperti mesti bayar zakat fitrah kepada amil juga sedangkan kaedah dalam talian sudah wujud lama.
- Yang serabut politik tidak berkesudahan dengan melaungkan `kerajaan pintu belakang’, diminta mendapatkan nasihat daripada pakar. Ketahuilah bahawa ahli UMNO dan Pas tahu, kerajaan PN bukan kehendak mereka menjadi model pentadbiran selama-lamanya. Memang perang besar bakal muncul pada PRU-15 nanti. Jadi sementara itu, tolong jangan serabut otak sekarang. Fokus pada PKP. – SM