Politik

KBS sedang bangunkan program khusus berhubung pendidikan demokrasi – Adam Adli

Sejak Undi18 dilaksanakan, belia kita hari ini dipertanggungjawabkan dengan kuasa mengundi yang mencorakkan duduk letak negara.

Dengan perkembangan ini, Kerajaan harus pikul tugas untuk membantu golongan belia muncul sebagai pembuat keputusan yang berpengetahuan dan kritis agar suaranya terus dipandang tinggi.

Kementerian Belia dan Sukan sedang gigih membangunkan program khusus berhubung pendidikan demokrasi yang melibatkan golongan belia berumur 15 hingga 30 tahun dengan sasaran menyemai pengetahuan berkaitan demokrasi demi melahirkan warganegara bertanggungjawab dan berkualiti tinggi.

Dalam tempoh kebelakangan ini, sesi ujian terhadap pelaksanaan program ini sedang dipergiatkan. Minggu lalu di Sungai Buloh Selangor, manakala hari ini Setiausaha Sulit Kanan saya ke Dungun, Terengganu untuk meneliti dan memantau pelaksanaan sesi berkaitan.

Kami sentiasa mengumpulkan dapatan penting agar pelaksanaan program ini kelak di seluruh negara berjalan lancar dan memberikan manfaat kepada semua belia yang terlibat.

Sesi ujian ini bakal melibatkan lebih 5000 peserta sepanjang bulan Mei ini.

Setelah berusaha sejak Januari lalu melalui pelbagai sesi libat urus yang melibatkan ahli akademik, aktivis, pemikir, pengkritik, pengamal media dan kumpulan masyarakat sivil; pagi tadi Kementerian menghimpunkan pemimpin-pemimpin sayap pemuda parti-parti politik utama di Malaysia dalam sesi libat urus untuk berkongsi pandangan mengenai hasrat pelaksanaan program ini.

Kehadiran dan penglibatan rentas parti pimpinan utama sayap-sayap pemuda parti politik Kerajaan dan Pembangkang antaranya Kamil Munim(KEADILAN), Akmal Saleh (UMNO), Fadhli Shaari (PAS), Young Syefura Othman (DAP) Hasbie Muda (AMANAH), Cikgu Rahayu (MUDA), Sdr Ahmad Yasin (PSM), Sdr Felix Joseph (UPKO), Jacob Lee (MCA), Dr Ismail (WARISAN), dan Malcolm Layang Jimbun (PBB) serta beberapa wakil lain amat saya hargai.

Sumbang saran yang diberikan amat penting untuk memastikan inisiatif ini tidak tersasar.

Setiap usaha yang dirintiskan demi kecemerlangan pengetahuan dan pemikiran belia di negara ini, bukanlah terletak di bahu Kementerian bersendirian, namun ia adalah usaha bersama-sama.

Kita wajar merangkul semua pandangan dan menyatukannya secara bersungguh-sungguh demi mewujudkan belia yang lebih mandiri dalam jiwa dan akal. – SM 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button