AgamaNasionalNegeri

Kayuhan MAIPs Peduli “refleksi” Kertas Putih KKM

PROGRAM Kayuhan MAIPs Peduli yang diketuai Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail adalah “refleksi” kepada Kertas Putih Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, ia dilihat menerusi sebahagian daripadanya telahpun dilaksanakan oleh Pemangku Raja di Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertanya sesuatu kepada Muhammad Radzi sambil diperhati Dr Zaliha pada Program Kayuhan MAIPs Peduli di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Kampung Guar Syed Alwi, Kangar.

Beliau berkata, KKM sedang merangka dan berusaha untuk menambah baik sektor kesihatan di Malaysia yang dinamakan sebagai Kertas Putih Kesihatan.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan berangkat menyempurnakan penyerahan sumbangan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada 140 asnaf terpilih dari kariah Kampung Sentua dan Kampung Surau di Utan Aji, Kangar pada program di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Kampung Guar Syed Alwi, Kangar.

Turut hadir Menteri Kesihatan Malaysia, Dr. Zaliha Mustafa, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dr. Norhayati Rusli; dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Dr. Asmayani Khalib serta ketua-ketua jabatan bagi agensi Negeri dan juga Persekutuan.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah pada asnaf yang hadir untuk menerima zakat MAIPs di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Kampung Guar Syed Alwi, Kangar.

Hadir sama Pengarah Kesihatan Negeri Perlis, Dr. Ismuni Bohari dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Datuk Dr. Muhammad Radzi berasa kagum melihat sendiri Tuanku Pemangku Raja Perlis menyantuni golongan asnaf yang kurang bernasib baik dengan memberikan bantuan dan juga menyampaikan titah semangat dan nasihat serta menghubungkan mereka dengan jabatan-jabatan yang bertanggung jawab untuk menghulurkan bantuan.

“Tonggak utama kertas putih adalah mentransformasikan penyampaian perkhidmatan kesihatan dengan menumpukan lebih kepada komuniti,” jelasnya.

“Ini dapat dilihat menerusi program anjuran MAIPs ini telah banyak membantu dan merealisasikan hasrat rakyat bukan sahaja dari segi bantuan tapi juga dari segi kesihatan,” katanya.

Salah seorang asnaf menerima sumbangan zakat MAIPs yang berkenan disampaikan oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Kampung Guar Syed Alwi, Kangar.

Tambah beliau lagi, “Apa yang saya lihat pada hari ni mengingatkan saya pada zaman Rasulullah SAW dan Para Sahabat di mana Baginda dan para Sahabat sendiri turun padang untuk berjumpa rakyat jelata bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat ketika itu”.

Katanya, KKM akan terus menyokong Program MAIPs Peduli ini dan akan menjadikan program ini sebagai program contoh untuk negeri-negeri yang lain.

Antara lokasi persinggahan pada program kayuhan kali ini ialah Bangunan Wakaf MAIPs – Pusat Perkhidmatan Dialisis Hospital Tuanku Fauziah (HTF).

Pakar Perubatan Dalaman dan Nefrologi, Dr. Wan Syamir Zharif Wan Ahmad Kammal dalam taklimatnya, berkongsi bahawa sejajar dengan penambahan pesakit saban tahun, pembinaan Bangunan Dialisis MAIPs – HTF ini adalah sangat bertepatan dengan keperluan masa kini dan juga masa hadapan.

“Bangunan dialisis MAIPs menyediakan fasiliti yang sangat baik untuk servis nefrologi di mana klinik ini bukan sahaja disediakan untuk rawatan hemodialisis malah digunakan untuk pesakit luar nefrologi serta rawatan “peritoneal dialysis”, tambah beliau.

Dalam program yang sama juga, Baginda berkenan merasmikan Projek Pembangunan Sosio Ekonomi Asnaf di mana Mohd Izwan Hamdan yang telah menerima mesin tebu percuma menerusi inisiatif sumbangan Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM).

Semoga sumbangan ini dapat menampung kehidupan seharian beliau seisi keluarga serta menggandakan hasil pendapatan.

Program kayuhan ini juga singgah di UTC Perlis bagi menyaksikan demonstrasi latihan litar yang dikelolakan oleh pasukan Wellness Hub Jabatan Kesihatan Negeri Perlis.

Demonstrasi ini turut disertai oleh ketua-ketua jabatan dan agensi yang hadir kerana aktiviti ini bukan sahaja baik untuk kesihatan malah boleh dilakukan di rumah masing-masing. – SM

BACA Kemesraan Pemangku Raja Perlis dengan rakyat dikagumi Menteri Kesihatan

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button