Ekonomi

Karya seni yang diilhamkan semasa pandemik memenangi anugerah 2021 UOB Painting of the Year

UOB Malaysia hari ini menyampaikan anugerah 2021 UOB Painting of the Year (Malaysia) kepada Saiful Razman, 41 tahun, untuk karya seni beliau bertajuk, ‘Walk In Silence, Don’t Walk Away in Silence’.

Sebagai pemenang anugerah berprestij ini, Saiful menerima hadiah wang tunai RM100,000 dan juga berpeluang memenangi program residensi selama sebulan sama ada di Muzium Seni Asia Fukuoka yang terkenal di Jepun atau Galeri Seni UOB di Shanghai, China.

Menjangkau batasan imaginasi dan kebolehan, karya seni Saiful dihasilkan semasa pandemik COVID-19 dan  diilhamkan oleh kesepian dan ketenangan yang dialami ketika pengasingan kendiri.

Melalui karya seni media campuran beliau, kertas tisu dan kain kasa bergulung nipis digunakan untuk menghasilkan lapisan yang halus, legap dan tonal.

Tempat lindung yang tulen dan damai, direka menggunakan bentuk ringkas yang menggambarkan sebuah rumah, merupakan tumpuan perhatian karya seni beliau.

Di kelilingnya pula adalah latar belakang bercorak landskap berdimensi yang melambangkan gunung, dipaparkan melalui persekitaran kontras warna yang nyata.

Menjelaskan karya seni sambil mengulas tentang kemenangan beliau, Saiful berkata: “’Walk in Silence, Don’t Walk Away in Silence’ adalah karya seni minimalis dan monokromatik yang menarik perhatian penonton secara halusnya sambil membangkitkan naratif yang terbuka kepada pelbagai interpretasi.

“Saya berbesar hati untuk memenangi anugerah 2021 UOB Painting of the Year (Malaysia) dan amat gembira karya seni saya akan mewakili Malaysia di anugerah keseluruhan 2021 UOB Painting of the Year Asia Tenggara.”

Bibi Chew, Ketua Hakim pertandingan 2021 UOB Painting of the Year (Malaysia), berkata: “Setiap tahun, kami amat gembira untuk melihat lebih ramai pelukis mencabar diri mereka secara kreatif.

“Selain peningkatan besar dalam jumlah penyertaan yang kami terima tahun ini, kami melihat kepelbagaian dalam jenis bahan dan isi kandungan dalam menghasilkan karya seni mereka.

“Kami terhutang budi kepada UOB Malaysia kerana sentiasa menyokong pelukis tempatan dalam menyediakan platform untuk mempamerkan karya seni mereka, untuk mengekspresi diri dan menyuarakan mesej mereka
terutamanya dalam masa yang sangat mencabar ini.

“Kami amat gembira dengan kemenangan Encik Saiful Razman dan kami tidak sabar melihat beliau bersaing dengan pemenang UOB Painting of the Year dari negara lain.”

Lukisan Saiful akan bersaing dengan penyertaan pemenang lain dari Indonesia, Singapura dan Thailand untuk anugerah 2021 UOB Painting of the Year Asia Tenggara, yang akan diumumkan di majlis anugerah maya pada 26 November 2021.

Saiful menyertai barisan pemenang UOB Painting of the Year (Malaysia) yang lepas, termasuk Sabri Idrus, Cheng Yen Pheng, Cheong Kiet Cheng, Chok Yue Zan, Cik Yim Yen Sum, Minstrel Kuik dan Encik Gan Tee Sheng, yang kesemuanya telah menerima pengiktirafan dalam dan luar negara untuk karya seni mereka.

KARYA Jaclyn Teh Ya Zi yang memenangi anugerah Pelukis Harapan untuk karya seni yang bertajuk ‘Hi’.

Dalam Kategori Pelukis Baru, Jaclyn Teh Ya Zi, 24 tahun, memenangi anugerah Pelukis Harapan untuk karya seni beliau yang bertajuk ‘Hi’.

Karya seni beliau merupakan gambaran visual mengenai seorang yang menghadapi kegelisahan sosial yang cuba menyembunyikan diri dari interaksi harian.

Menggunakan gabungan benang, kapas dan cat akrilik, Cik Teh telah menghasilkan karya seni yang menyampaikan perasaan sebenar yang dirasai oleh seseorang yang sedang bergelut dengan kegelisahan sosial dan bagaimana beliau bertindak balas dalam keadaan sedemikian.

Wong Kim Choong, Ketua Pegawai Eksekutif, UOB Malaysia, berkata: “Walaupun perintah kawalan pergerakan telah menyebabkan sekatan perjalanan, UOB Painting of the Year (Malaysia) tetap diadakan secara digital dan maya. Ini menunjukkan komitmen Bank dalam menggalakkan dan membangunkan seni di negara ini, dibina atas kepercayaan bahawa seni berupaya untuk menyatukan masyarakat, mendekatkan orang ramai dan meningkatkan kesejahteraan pada tempoh yang mencabar ini.

“Kini dalam tahun ke-11, kami terus mengiktiraf dan meningkatkan pelukis Malaysia melalui pertandingan UOB Painting of the Year (Malaysia). Pertandingan tahunan ini mencungkil bakat pelukis tempatan dan memberi mereka peluang menonjolkan kemahiran mereka di rantau ini.

“Walaupun menghadapi cabaran semasa, kami melihat ramai pelukis berbakat kekal tabah dan terus bangkit dengan mengambil pengalaman daripada pandemik sebagai sumber inspirasi untuk karya seni mereka. Kualiti dan penguasaan karya seni yang memenangi anugerah menceritakan pelbagai kisah, termasuk tentang harapan, kekuatan, ketabahan dan mengatasi kesukaran.

“Kami gembira untuk menerima penyertaan paling tinggi sekali lagi daripada pelukis mapan dan baru muncul dari seluruh negara. Ini adalah bukti kejayaan dan reputasi pertandingan sebagai salah satu pertandingan seni yang paling diiktiraf di rantau ini,” kata Wong.

Orang ramai boleh melihat semua lukisan yang memenangi anugerah dalam kategori Pelukis Mapan dan Pelukis Baru 2021 UOB Painting of the Year (Malaysia) di Galeri Seni UOB maya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button