Kanak-kanak autisme hilang ditemukan terapung di sebuah lombong
SEORANG kanak-kanak lelaki autisme berusia enam tahun dipercayai hilang petang semalam selepas keluar dari rumahnya di Lorong Jaya, Taman Kinta Baru, Gopeng ditemukan terapung di tepi sebuah lombong, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata mayat Muhammad Fayyadh Ukasyah Abdul Wahid ditemukan pasukan operasi mencari dari Balai Polis Gopeng dalam jarak kira-kira 80 meter dari rumah keluarga mangsa pada pukul 9.45 pagi.
“Mayat mangsa dibawa naik oleh pihak Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng dan pemeriksaan awal pada fizikal mangsa telah dibuat dan didapati tiada elemen jenayah.
“Pengecaman mayat telah dibuat oleh keluarga mangsa. Mayat dihantar ke Hospital Kampar bagi tujuan bedah siasat dan siasatan diteruskan sebagai laporan mati mengejut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Hasron Nazri berkata seorang kanak-kanak autisme dengan masalah hiperaktif, kurang pendengaran dan tidak boleh bercakap, disedari hilang oleh ibunya kira-kira pukul 6.30 petang semalam.
Beliau berkata pakaian terakhir mangsa sebelum hilang adalah berbaju T-shirt BoBoiBoy berwarna hijau dan memakai lampin pakai buang.
Polis telah menemubual ibu mangsa, Nur Shamimi Abdul Malek yang menyatakan telah menyedari anak lelakinya itu tiada di ruang tamu rumah dan terus mencari di taman hadapan rumah pada jarak kira-kira 50 meter daripada rumah.
Namun, setelah hampir 10 minit mencari tetapi tidak berjumpa. Kemudian ibu mangsa balik ke rumah dan meminta bantuan daripada jirannya untuk mencari di sekitar taman perumahan itu lebih kurang 10 minit, tetapi masih tidak berjumpa – BERNAMA