Politik

Akar umbi masih terima Muhyiddin, wajar ketuai MPN – Pensyarah

DATA menunjukkan tahap penerimaan ke atas Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin masih lagi tinggi pada tarikh beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 16 Ogos lalu.

Ini terbukti dari kaji selidik Merdeka Centre pada 10-12 Ogos lalu yang menunjukkan tahap penerimaan ke atas beliau berada pada 52%, dengan 74% Melayu teguh menyokong beliau.

Justeru, menurut pensyarah di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof. Madya Dr. Mohd Noor Yazid, lantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) sewajarnya disambut baik oleh segenap lapisan masyarakat.

Mohd. Yazid berkata, Muhyiddin terbukti tetap popular dalam kalangan rakyat walaupun selepas meletakkan jawatan dengan hantaran Facebook beliau mendapat sambutan hangat daripada para pembaca.

Hantaran Facebook bertajuk “Amanat Terakhir Tan Sri Muhyiddin kepada Pegawai Pejabat Perdana Menteri” contohnya mendapat 22,000 komen, 41,000 perkongsian dan 215,000 sukaan.

Lebih mutakhir adalah kenyataan media penerimaan lantikan sebagai pengerusi MPN yang mendapat 6,200 komen, 2,700 perkongsian dan 68,000 sukaan yang membuktikan sokongan kepada beliau.

“Amat malang sekali bila beliau terpaksa meletakkan jawatan sebagai perdana menteri bukan kerana gagal mendapat sokongan rakyat tetapi kerana penarikan balik sokongan Ahli-Ahli Parlimen tertentu.

“Begitulah juga dengan imej “Kerajaan Gagal” yang terus-menerus cuba dipalitkan kepada Muhyiddin walaupun beliau telah berusaha sedaya-upaya melakukan yang terbaik sepanjang pemerintahan beliau,” kata Mohd Noor.

Dalam tempoh 17 bulan Muhyiddin telah buat apa yang beliau fikir diperlukan untuk menyelamatkan nyawa rakyat jelata, menentukan mereka ada makanan di atas meja dan nyawa mereka selamat.

Katanya, cara Muhyiddin bekerja memang tidak banyak cakap tetapi data dari segi vaksinasi khususnya membuktikan pencapaian yang agak luar biasa beliau di mana akhir Oktober Malaysia menghampiri imuniti kelompok.

Berdasarkan pengalaman dan pengetahuan mendalam beliau mengenai perancangan dan tindakan memulihkan negara dari pandemik Covid-19 maka amatlah sesuai Muhyiddin dilantik mengetuai MPN.

“Lantikan ini pastinya akan menjamin kesinambungan di dalam perancangan dan tindakan kerajaan yang disertai oleh pelbagai penambahbaikan ekoran kemasukan anggota baru, termasuk pemimpin pembangkang.

“Perlu diingat bahawa lantikan Muhyiddin ini bukan dibuat secara sendirian oleh Ismail tetapi secara kolektif oleh jemaah menteri dalam mesyuaratnya pada 1 September lalu.

“Oleh itu, lantikan ini tidak seharusnya dijadikan sebagai satu isu untuk merendah-rendahkan sesiapa, apatah lagi bila ia telah disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Pensyarah itu berkata, adalah satu pembohongan bahawa Perdana Menteri Satuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menjadi boneka selepas Muhyiddin dilantik sebagai Pengerusi MPN.

Ini kerana walaupun lantikan sebagai Pengerusi MPN ini menjadikan Muhyiddin bertaraf Menteri tetapi beliau tidak dilibatkan dalam proses pembuatan keputusan oleh Jemaah Menteri.

“Begitu juga jika mahu dikatakan bahawa dengan sebab lantikan sebagai Pengerusi MPN ini maka akan banyak dana kerajaan terbazir untuk membayar gaji Muhyiddin yang merupakan satu kepalsuan.

“Ini kerana Muhyiddin sendiri sejak awal lagi telah menyebut sewaktu menerima pelantikan ini bahawa beliau akan menjalankan tugas secara sukarela tanpa apa-apa imbuhan,” katanya.

Mohd Noor berkata, Ahli Parlimen Pagoh itu sedar bahawa beliau hanya akan berperanan membantu Ismail membawa Malaysia melalui fasa-fasa pemulihan sepertimana yang telah digariskan dalam PPN.

Akhirnya, lantikan ini juga adalah cerminan kepada prinsip kebersamaan Ismail dan titah Yang di-Pertuan Agong yang mahukan semua pihak agar melupakan segala perbezaan demi mencapai kesejahteraan dan kebajikan rakyat.-SM

(Visited 102 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button