Kalau vip berebut nak jadi imam kan bagus
BARU-BARU ini kecoh di media sosial segerombolan vip orang kenamaan dibenarkan masuk untuk menunaikan solat di sebuah masjid, sedangkan orang ramai beratur sejak awal lagi untuk mendapatkan giliran.
Di dalam masyarakat Melayu Malaysia perkara itu memang sering berlaku dan bukanlah sesuatu yang luar biasa.
Contonya program bersama rakyat, tetapi vip akan makan bersama-sama vip dan rakyat makan bersama-sama mereka. Bahkan alas meja dan menu juadah juga berbeza.
Bicara rakyat contohnya, vip sahaja yang berucap yang mendengar adalah rakyat dan selepas itu dapatlah rakyat makan karipap dengan air sirap, manakala vip akan dihidang dengan pelbagai juadah yang lazat.
Jadi untuk mendapat layanan vip maka rakyat marhaen perlu masuk politik dan dengan cara itu mereka akan mendapat tiket ekspress menjadi vip.
Jika setakat berniaga dan punyai banyak wang, ia tidak menjamin untuk mendapat layanan vip.
Sebab itu vip yang bermaksud dengan very important person sering digantikan dengan very irritating person, bermaksud terjemahannya orang yang paling menjengkelkan.
Sepatutnya pihak masjid memberi keutamaan golongan warga emas yang tidak larat berdiri lama kerana usia lanjut untuk masuk terlebih dahulu dan bukannya mengutamakan vip.
Seperkara lagi apakah jaminan vip ini tidak membawa wabak Covid-19 kerana tidak langsung diperiksa suhu badan atau dikehendaki supaya check-in menggunakan aplikasi ditetapkan.
Kita mungkin akan gembira jika terdapat vip yang datang dan terus dibenarkan masuk untuk membaca khutbah jumaat dan menjadi imam.
Perkara itu memang sangat jarang berlaku di dalam masyarakat kita, kerana kebanyakan orang politik ini mereka hanya pandai bercakap tetapi tidak pandai menunaikan apa yang mereka cakap.
Kalau tidak masakan untuk membaca khutbah, menghafal rukun solat dan ayat lazim serta doa ringkas tidak mampu dilakukan.
Bahagian Hal Ehwal Agama Jabatan Perdana Menteri (JPM) sedang menyiasat sebuah video yang menunjukkan seorang VIP ‘memotong trip’ masuk ke sebuah masjid untuk solat Jumaat pada (10 Sept).
Timbalan Menteri Datuk Marzuk Shaary berkata semua Jemaah perlu dilayan sama adil dan ‘kluster kayangan’ tidak sepatutnya wujud di masjid.
Sehubungan itu beliau berkata pihak pengurusan masjid perlu menggunakan budi bicara dan tidak melayan kehendak sesetengah pihak.
Beliau memberitahu media selepas menghadiri program pengagihan bantuan bakul makanan dan sumbangan wang tunai daripada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia dan Bank Islam kepada 25 penarik beca di Kota Baharu pada Sabtu (11 Sept) bahawa jabatan tersebut sedang menunggu penjelasan berhubung perkara itu daripada pihak masjid.
Dalam pada itu pihak Masjid Putra Putrajaya memohon maaf sekiranya wujud sebarang kekhilafan dipihaknya berhubung isu video tular yang kononnya pihaknya memberikan layanan berbeza kepada jemaah yang hadir untuk solat Jumaat semalam.