Kacang Poi: Kudapan Enak Yang Semakin Dilupakan, Budak Muda Pun Tak Kenal!
KACANG POI, sebutnya mungkin tak sehebat kacang macademia yang dikenali sebagai termahal di dunia.
Ia cuma sejenis kacang berbentuk bulat dengan isi gebu berwarna merah tua dan rasa lemak ini sangat enak dimakan setelah direbus.
Kacang poi ini sekian lama menjadi kudap-kudapan yang sangat popular khususnya di kalangan penduduk di negeri-negeri sebelah Utara.
Bagaimanapun peralihan zaman yang dipenuhi dengan kepelbagaian dalam pilihan makanan telah menyebabkan populariti kacang poi sebagai kudap-kudapan semakin dilupakan di kalangan generasi muda.
Kenyataannya kacang poi yang muncul secara bermusim khususnya di bulan ini memang ditunggu oleh kebanyakkan penggemarnya yang berusia 40-an ke atas.
Tinjauan Suara Merdeka juga mendapati, hanya ada beberapa gerai buah sahaja di sekitar Kangar yang menjual kacang poi.
Peniaga menjualnya dengan harga RM10 untuk sekilogram.
Difahamkan, ada peniaga yang mendapatkan bekalan ini dari negara jiran, Thailand tetapi dengan bekalan terhad.
Ada juga yang mendapatkan bekalan ini dari petani yang mengusahakan tanaman ini di Kedah.
Bagi peminatnya, Zaini Zainul, 55, mengakui, kalau dah makan kacang poi rebus ini memang sukar nak berhenti.
“Saya pula memang menunggu musim kacang poi kerana tidak mahu melepaskan peluang menikmati kacang kegemaran ini,” katanya.
Beliau berkata, sekaligus dia dapat memperkenalkan kepada anak-anak makanan kudapannya ketika masa kecil sehingga kini.
Salah seorang pekerja di sebuah gerai buah-buahan di Jalan Kangar-Alor Setar, Shafikah Mat Din, 20-an memberitahu, taukehnya sanggup pergi mencari kacang poi ini di Perik, Kedah.
Beliau berkata, setakat ini jualan kacang poi tidak menghampakan kerana bagi yang biasa makan pastinya akan tertarik untuk membeli. – SM