Justin Lim dituntut selesaikan tunggakan gaji Melaka United
Wartawan Suara Merdeka
MELAKA 7 April – Kemana hilangnya Ketua Pegawai Eksekutif Melaka United FC (MUFC), Datuk Seri Justin Lim
ketika pegawai dan pemain skuad bola sepak menagih gaji yang tidak dilunaskan sejak tiga bulan lalu.
Pemilik MUFC itu terus menyepi hingga gagal dihubungi untuk mendapatkan maklumat terkini berhubung isu
tunggakan gaji yang belum diselesaikan bagi musim ini.
Malah pemain serta pegawai MUFC pula terus membisu untuk memperkatakan mengenai perkembangan terkini skuad
itu hingga menjejaskan prestasi pasukan yang tewas 0-1 kepada Sabah dalam saingan Liga Super baru-baru
ini.
Untuk rekod, Januari lalu, gaji pegawai dan pemain pasukan itu juga tertunggak tiga bulan hingga ditegur
pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Penaung Persatuan
Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) menerusi mesej yang dihantar kepada Presiden Persatuan Bola
Sepak Melaka United (MUSA), Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Bagaimanapun, hasil campurtangan beberapa pihak, pihak pengurusan skuad itu akhirnya berjaya melunaskan
tunggakan tersebut.
Kini situasi serupa diharungi bagi musim ini setelah perkara itu didedahkan oleh jurulatihnya, Risto
Vidakovic selepas kekalahan kepada Sabah. Kekalahan skuad Sang Kancil itu berpunca apabila pegawai dan
pemain masih belum menerima gaji sejak tiga bulan lalu.
Sementara itu, Sulaiman yang juga Ketua Menteri dalam satu sidang akhbar hari ini, meminta pengurusan MUFC
untuk segera menyelesaikan isu tersebut secepat mungkin.
“Isu gaji tertunggak kini di bawah tanggungjawab sepenuhnya pemilik baru selepas diswastakan dan bukan
lagi menjadi tanggungjawab MUSA.
“Ini adalah perjanjian yang dimeterai antara MUSA dan KenTeam sewaktu pasukan ini diswastakan.
“Saya sudah berjumpa Justin Lim dan meminta pembayaran gaji perlu diselesaikan segera walaupun secara
berperingkat,” ujarnya dalam sidang akhbar di Seri Negeri di sini hari ini.
Sulaiman turut melahirkan rasa bimbang jika isu gaji ini tidak diselesaikan ia boleh menjejaskan prestasi
skuad itu dalam mengharungi saingan Liga Super dan Piala FA.
Beliau turut berkongsi pendapat sama seperti Vidakovic pemain tidak bersemangat bermain dan mereka sekadar
melengkapkan jadual yang telah diatur.
“Saya tidak dimaklumkan mengenai kelewatan gaji pemain tertunggak selama tiga bulan. Keadaan ini bukan
sahaja menimpa Melaka tetapi juga beberapa buah pasukan,” ujarnya.
Selasa lepas, Vidakovic dalam satu sidang akhbar selepas perlawanan dengan Sabah di Stadium Hang Jebat,
Melaka, beliau mendedahkan punca kekalahan skuad bimbingannya apabila pemain belum menerima gaji sejak
tiga bulan lalu.
Situasi itu kata jurulatih dari Bosnia Hezergovina itu menyebabkan pasukannya hilang motivasi untuk
beraksi cemerlang dan mengalami kekalahan kedua daripada tiga perlawanan Liga Super setakat ini.