Jenayah

Jurutera memandu mabuk, lawan arus hingga kemalangan

Seorang jurutera yang memandu secara melawan arus hingga menyebabkan kemalangan dengan dua kereta dan mencederakan seorang pemandu, ditahan di Kilometer 26 Lebuh Raya Seremban-Port Dickson, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata hasil ujian dilakukan di Balai Polis Trafik Port Dickson mendapati lelaki berusia 29 tahun itu di bawah pengaruh alkohol.

Jelasnya, kemalangan itu melibatkan tiga kereta iaitu kereta pacuan empat roda jenis Ford Ranger yang dipandu suspek manakala dua lagi adalah kereta mangsa iaitu Proton Saga dan Toyota Vios.

“Dalam kejadian kira-kira 2.45 pagi itu, lelaki berkenaan telah memandu secara melawan arus dari arah Port Dickson ke arah Seremban, kereta suspek kemudian merempuh dua kereta dari arah bertentangan.

“Susulan kejadian itu, suspek tidak cedera namun seorang lelaki berusia 31 tahun yang memandu kereta jenis Proton Saga mengalami kecederaan iaitu patah paha kaki kanan,” katanya dalam kenyataan di Port Dickson, hari ini.

Bagaimanapun, pemandu kereta Toyota Vios berusia 24 tahun bersama dua orang penumpang masing-masing berusia 23 dan 25 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Aidi Sham berkata lelaki berusia 31 tahun yang mengalami kecederaan itu dibawa ke Hospital Port Dickson untuk rawatan lanjut.

Katanya, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban untuk permohonan reman pada pagi ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 44 (1A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (pindaan 2020) dan Seksyen 42 (1) APJ 1987.– Bernama

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button