Jurgen Klopp dinamakan sebagai Pengurus Terbaik EPL
BOS Liverpool, Jurgen Klopp dimahkotakan sebagai Pengurus Terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL) 2019/20 selepas mengetepikan pencabar terdekat Frank Lampard, Brendan Rodgers dan Chris Wilder bagi anugerah tersebut, sebentar tadi.
Pengurus berusia 53 tahun itu menerajui Reds merangkul gelaran Liga Perdana buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun, dan dia turut membawa pasukannya menjulang trofi dengan penuh bergaya selepas mengumpul 99 mata bagi menamatkan saingan di kedudukan teratas, 18 mata mengatasi Manchester City.
Berita itu hadir selepas Trent Alexander-Arnold dinamakan sebagai Pemain Muda Terbaik EPL, semalam.
Klopp turut dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Persatuan Pengurus Liga (LMA), bulan lalu selepas dia mengetepikan persaingan daripada pengurus Leeds, Marcelo Bielsa; pengendali Wycombe, Gareth Ainsworth dan pengurus Sheffield United, Wilder.
Selain gelaran Liga Perdana, Klopp juga memenangi Piala Super UEFA serta Kelab Piala Dunia bersama Liverpool, musim ini, dan mereka masih bergelar juara bertahan Liga Juara-Juara selepas merangkul kejuaraan itu pada Jun tahun lalu.
Klopp berdepan persaingan sengit bagi merebut anugerah Pengurus Terbaik 2019/20 dengan Lampard menerajui Chelsea menamatkan saingan di kedudukan ketiga dalam kempen pertamanya di Stamford Bridge, manakala Rodgers membimbing Foxes bagi mencatat kejutan melengkapkan aksi di tempat kelima dan Wilder cemerlang bersama Blades selepas dinaikkan ke Liga Perdana, musim lepas dengan pasukannya berada di tangga kesembilan.
Bagaimanapun, kejayaan Klopp itu bukanlah satu kejutan setelah menyaksikan persembahan Reds yang muncul salah sebuah pasukan terbaik di dunia.
Mengulas mengenai kejayaannya merangkul gelaran bersama Liverpool, Klopp berkata: “Sebenarnya tiada yang lebih menggembirakan dan saya tidak pernah bermimpi untuk meraih pencapaian sebaik ini kerana tidak pernah berbuat demikian sebelum tahun lalu.
“Malah, kami tidak berada dekat dengan kecemerlangan ini tiga tahun lalu, tetapi setahun lepas kami sudah semakin hampir…apa yang para pemain lakukan sejak dua tahun setengah yang lalu, aksi kosisten yang mereka pamerkan benar-benar mengagumkan dan ia tiada tandingan.”
Skuad yang dimiliki Liverpool pada ketika ini, masih boleh dilihat berupaya menjadi pencabar bagi mengekalkan gelaran, musim depan, tetapi dengan kehadiran City, Manchester United dan Chelsea bakal menjelmakan persaingan sengit sehingga ke hujung musim. – Mirror UK – SM