Nasional

JPJ buka semula kaunter mulai Rabu ini untuk kenderaan perdagangan

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) akan membuka perkhidmatan kaunternya bermula Rabu ini (29 April), khusus  untuk urusan kenderaan perdagangan meliputi barangan, pelancongan dan perkhidmatan awam.

Jabatan itu dalam kenyataan hari ini menyatakan, perkhidmatan kaunter dari 8 pagi hingga 1 tengah hari itu tidak melibatkan kenderaan persendirian, teksi dan e-hailing buat masa ini, bagi mengelakkan berlaku ketidakpatuhan garis panduan yang ditetapkan, iaitu jarakan sosial selain mengelakkan berlaku kekesakan di kaunter.

Urusan yang akan dilaksanakan adalah pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM), pembaharuan Lesen Memandu Malaysia dan Lesen Vokasional (GDL dan PSV) serta penyelesaian senarai hitam dan pembayaran saman membabitkan LKM, GDL dan PSV.

“Bagi pemandu kenderaan persendirian, teksi dan e-hailing, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pengecualian pembaharuan LKM yang diberikan sebelum ini masih berkuatkuasa serta terpakai, dengan syarat kenderaan mereka mempunyai perlindungan insurans yang sah, sepanjang perkhidmatan dan pengoperasian,” menurut kenyataan itu.

Kaunter yang terlibat adalah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ WPKL) di Wangsa Maju, serta cawangan Bandar Sri Permaisuri dan Manjalara bagi WPKL; Negeri Sembilan di Seremban serta cawangan Kuala Pilah dan Jempol di Negeri Sembilan; manakala di Johor adalah JPJ Negeri Johor serta cawangan Muar, Segamat, Batu Pahat, Kluang, Pontian dan Mersing.

Di Pulau Pinang, ia melibatkan JPJ Seberang Jaya dan Batu Uban; Bukit Katil bagi Melaka dan JPJ Negeri Perlis bagi negeri Perlis, JPJ Kelantan bagi negeri Kelantan, JPJ Terengganu bagi negeri Terengganu dan JPJ Wilayah Persekutuan Labuan, di Labuan.

Kaunter lain yang dibuka ialah  Negeri Kedah serta cawangan Sungai Petani dan Langkawi bagi Kedah; Shah Alam serta cawangan Petaling Jaya, Bangi, Banting, Kuala Kubu Bahru dan Sabak Bernam di Selangor;  Pahang serta cawangan Temerloh dan Raub bagi Pahang, dan Ipoh serta cawangan Taiping, Manjung dan Teluk Intan bagi negeri Perak.

Di Sarawak, kaunter yang dibuka adalah di JPJ Kuching serta cawangan Sri Aman, Sarikei, Bintulu, Sibu  dan Miri manakala di Sabah, kaunter terlibat ialah JPJ Sabah di Kota Kinabalu selain cawangan Sandakan,  Tawau, Lahad Datu, Keningau, Beaufort dan Kota Marudu.

Menurut kenyataan itu lagi, perkhidmatan lain di kaunter akan dimaklumkan berdasarkan perkembangan semasa pandemik COVID-19 dan keputusan kerajaan mengenai PKP.

“Orang ramai yang berurusan di kaunter dinasihatkan mematuhi garis panduan pencegahan COVID-19 yang telah ditetapkan dan mereka digalakkan menggunakan kaedah pembayaran secara e-payment,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button