Johor paling terkesan akibat sempadan tutup – Muhyiddin
PENGERUSI Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Johor merupakan negeri paling terkesan akibat langkah kerajaan menutup sempadannya.
Beliau berkata, ekoran penutupan sempadan itu, ia turut menjejaskan kelangsungan hidup rakyat Negeri Johor yang berulang-alik bekerja di Singapura sebelum ini.
Muhyiddin berkata, kira-kira 300,000 penduduk Johor yang berulang-alik ke Singapura, hilang punca pendapatan akibat langkah penutupan sempadan itu.
“Saya tidak tahu apakah yang terjadi dengan mereka sekarang. Bagaimanakah mereka berhadapan cabaran besar untuk meneruskan hidup dan meletakkan makanan ke atas meja mereka.
“Ini merupakan satu masalah yang perlu kita tangani,” kata bekas Perdana Menteri itu dalam Majlis Sesi Dialog Menteri-Menteri Ekonomi bersama Pengerusi MPN, hari ini.
Menurut Muhyiddin lagi, pembukaan sempadan akan membawa kemasukan lebih 28 juta pelancong asing ke negara ini.
“Dan ia membolehkan negara meraih lebih dari RM80 bilion pendapatan dari sektor berdaya maju itu,” ujarnya.
Terdahulu, MPN mencadangkan supaya sempadan negara dibuka sepenuhnya seawal 1 Mac tanpa keperluan kuarantin wajib.
Namun Kementerian Kesihatan (KKM) dilaporkan masih dalam proses akhir untuk memuktamadkan prosedur operasi standard (SOP) bagi pembukaan sempadan negara sebelum mendapat persetujuan Jemaah Menteri. – SM