NasionalNegeri

Johor benarkan solat berjemaah di semua masjid, surau

JAWATANKUASA Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, maklumkan umat Islam di sana dibenarkan menunaikan solat berjemaah di semua surau dan masjid di negeri itu.

Kebenaran bermula pada waktu Subuh esok (9 Februari) itu termasuklah menunaikan solat Jumaat di semua masjid dan surau ketika dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun, kebenaran itu tertakluk kepada prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Dengan kebenaran tersebut, Johor menjadi antara negeri selain Perak, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Perlis yang membenarkan solat berjemaah di surau dan masjid.

“Bilangan jemaah solat Jumaat di masjid dan surau Jumaat serta surau yang diberikan kebenaran Jumaat dan bilangan solat berjemaah fardhu lima waktu adalah seramai 40 orang jemaah ahli kariah yang digilirkan tidak termasuk pegawai masjid, surau dan ahli jawatankuasa pengurusan kariah masjid dan surau dengan mematuhi penjarakan fizikal.

“Kebenaran ini berkuatkuasa mulai waktu Subuh pada 9 Februari sehingga satu tarikh yang akan ditentukan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor setelah mendapat pandangan dan nasihat daripada MKN dan KKM.

“Namun bagi memastikan lebih ramai umat Islam dapat menunaikan Solat Jumaat, diperkenankan kebenaran sementera menunaikan solat Jumaat kepada 216 di seluruh negeri Johor.”

Demikian kenyataan bersama oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Tosrin Jarvanthi; Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Datuk Md. Rofiki Samsudin.

Selain itu, semua masjid dan surau juga dikehendaki melaksanakan solat sunat hajat berjemaah setiap hari selepas solat Maghrib dan solat Jumaat.

Dalam pada itu, beberapa aktiviti keagamaan termasuk bersifat perhimpunan juga dibenarkan seperti Tazkir dan Tarhim oleh pegawai masjid dan surau.

Aktiviti pembudayaan Al-Quran dan As-Sunnah, bacaan Yassin dan Tahlil serta bacaan surah AL-Mulk dan Al-Kahfi juga dibenarkan diadakan di masjid dan surau di Johor.

Walau bagaimanapun, aktiviti solat Jenazah dibenarkan dengan kehadiran 40 orang jemaah tidak termasuk pegawai masjid, surau dan ahli jawatankuasa pengurusan kariah masjid dan surau.

“Imam bertugas hendaklah mengingatkan para jemaah berkaitan pematuhan SOP dan pelaksanaan solat sunat hajat sebelum solat Maghrib.

“Manakala lain-lain aktiviti pengimarahan masjid dan surau seperti kuliah takmir masjid dan surau serta ceramah adalah ditangguhkan.

“Walau bagaimanapun, aktiviti kuliah dan ceramah secara atas talian atau ‘online’ yang dianjurkan oleh masjid dan surau adalah digalakkan serta memastikan penceramah yang dijemput mempunyai tauliah MAINJ,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button