Sukan

Jelajah Dunia Akhir BWF: Peluang Aaron-Wooi Yik semakin tipis

PASANGAN beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik berhadapan laluan sukar untuk layak ke separuh akhir Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Hangzhou, China selepas tewas pada perlawanan kedua Kumpulan A hari ini.
Ini adalah kekalahan kedua pasangan negara dalam saingan Kumpulan A, selepas tewas kepada pasangan Jepun Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 16-21, 21-14, 18-21, semalam.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Hangzhou Olympic Sports Centre itu, ranking ketiga dunia itu tewas kepada pasangan tuan rumah Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi dalam pertarungan sengit lebih satu jam.
Aaron-Wooi Yik bermula dengan baik untuk menang set pertama 21-19 sebelum kelihatan buntu pada set kedua dengan tewas 18-21, sekali gus mengheret kepada set penentuan.
Perlawanan di set ketiga berlangsung sengit apabila kedua-dua pasangan saling mengejar mata sehingga terikat 20-20 sebelum Yu Chen-Xuan Yi yang berkelebihan beraksi di laman sendiri menoktahkan kemenangan 22-20.
Pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan esok, pasangan negara berdepan tugas berat apabila dijadual bertemu satu lagi wakil tuan rumah yang juga pasangan nombor satu dunia, Liang Wei Keng-Wang Chan dalam usaha memburu slot separuh akhir.
Berdasarkan format kejohanan, hanya dua pasangan teratas setiap kumpulan layak ke separuh akhir.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button