Nasional

Jauhi anak dari budaya negatif- Penasihat MyITFU

SEMUA lapisan masyarakat termasuk ibu bapa diseru memastikan anak-anak menjauhi budaya atau perlakuan negatif serta tidak mengharapkan pihak berkuasa sahaja untuk mencegah kes jenayah.

 

Penasihat Kehormat Malaysian International Taekwon-Do Federation Union (MyITFU), Datuk Tuan Asmawi Tuan Umar berkata salah satu usaha yang boleh dilakukan ialah menggalakkan golongan pelajar dan remaja agar melibatkan diri dalam aktiviti seni bela diri.

“Penglibatan dalam seni bela diri seperti  taekwon-do merupakan sebahagian daripada langkah yang terbaik untuk membina kecergasan fizikal, disiplin diri dan kemahiran sosial.

 

“Para pelajar bukan sahaja hadir ke sekolah untuk belajar melalui akademik atau kurikulum sahaja.  Bidang kokurikulum juga merupakan salah satu elemen penting dalam membina sahsiah diri dan menyediakan anak-anak sebagai pewaris negara agar menjadi modal Insan yang berilmu dan berakhlak mulia,”  katanya ketika merasmikan Kursus Kejurulatihan Antarabangsa atau International Instructors Course (IIC) 2024 di Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Pengkalan Chepa, dekat sini hari ini.

 

Turut hadir ialah Presiden International Taekwon-Do Federation Union (ITFU), Grand Master (GM) Don Dalton dari Republik Ireland dan Presiden MyITFU, Master Mohd. Khalilullah Yusuf.

 

Tuan Asmawi berkata, kejadian buli dan penderaan fizikal yang sering berlaku dalam kalangan murid sekolah seharusnya dibanteras dengan mengenal pasti punca sebenar mengapa kes itu berlaku.

 

“Kes-kes jenayah seperti rompakan dan samun juga wajib dibanteras.  Ketahui punca kenapa jenayah itu berlaku.  Jangan tunggu jenayah kejam berlaku sehingga  melibatkan kecederaan atau kehilangan nyawa.  Galakkanlah anak-anak menyertai kegiatan sukan, persatuan atau pasukan seragam di sekolah masing-masing.

 

“Akta Pendidikan 1996 (Akta 55) telah mewartakan kegiatan kokurikulum sebagai salah satu kegiatan wajib disertai oleh pelajar di Institusi Pengajian Tinggi. Seiring dengan akta tersebut, aktiviti kokurikulum diperkenalkan pada peringkat sekolah rendah lagi,” katanya yang juga merupakan GM MyITFU.

 

Seramai 200 peserta daripada sebelas anggota gabungan MyITFU menyertai kursus dua hari itu yang dikendalikan oleh Don Dalton serta GM Ridzwan Abu Hassan yang juga merupakan bekas penyanyi popular, Dwen.

Artikle Berkaitan :>

Resort Aliff Syukri dikecam ada lipas, Abby Abadi anggap perkara biasa

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button