Jangan amal sikap bertangguh kerja – Titah Raja Muda Perlis
Setiap tugasan yang diberikan kepada pelajar perlu disiapkan dalam jangka waktu yang ditetapkan. Jangan ada sikap bertangguh atau ‘nanti dulu’, kerana itu akan mengubah persepsi pelajar dalam melihat sesuatu perkara dan secara tidak langsung akan merosakkan fokus dan sasaran untuk menjadi pelajar yang terbaik.
Pelajar harus peka akan arahan tugasan yang diberikan oleh pensyarah atau guru dan menyiapkan dalam tempoh masa yang ditetapkan. Jangan sekali-kali berasa terlalu selesa dan mengambil mudah dalam melaksanakan amanah sebagai seorang pelajar.
Pelajar tidak kira di peringkat IPT ataupun sekolah juga hendaklah sentiasa fokus di dalam pengajaran dan pembelajaran masing-masing.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyampaikan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada tiga orang asnaf terpilih iaitu Jukhairi Abidin, Abu Seman Suberi Ibrahim dan Azizis Kassim
melalui program kayuhan ‘MAIPs Peduli’ baru-baru ini di sekitar Kg Ujung Bukit dan Kg Nesam.
Menurut Tuanku Raja Muda, ‘Apabila di IPT pula, bergelar seorang mahasiswa merupakan titik permulaan sebagai remaja yang meningkat dewasa. Di IPT jugalah pelajar didedahkan dengan pelbagai perkara baharu yang memerlukan komitmen dan tanggungjawab yang besar. Oleh itu, jadikanlah sebagai pedoman sepanjang kehidupan bukan sahaja ketika masih berstatus pelajar bahkan boleh diaplikasikan dalam kehidupan masing-masing di masa akan datang’.
Baginda juga menyarankan supaya rujuklah kepada pensyarah atau guru masing-masing jika ada persoalan yang tidak jelas secara berhemah. Pada masa yang sama, tidak semua yang terlihat indah itu, cantik keseluruhannya. Ia mungkin kelihatan cantik dan mudah di luar, tetapi memerlukan kesabaran dan komitmen tinggi untuk menyelesaikannya. Oleh itu, para pelajar juga harus memahami dan mengambil tahu apakah risiko dan implikasi di atas setiap keputusan yang diambil kerana ia adalah ‘kunci’ untuk menjadi seorang insan yang berjaya kelak.
Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs turut berkenan merasmikan projek pembangunan sosio-ekonomi MAIPs berupa perniagaan kedai makan yang diusahakan oleh Nor Sharizan Shaaban berhadapan dengan Ishah Bintong, Bintong. Beliau yang merupakan peserta yang mengambil bahagian di dalam program Latihan Pembangunan Usahawan (LPU) MARA/MAIPs sebelum ini telah menerima bantuan untuk membeli peralatan kedai bernilai RM8,300 daripada MAIPs melalui Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM). Perasmian simbolik tersebut diadakan di Taman Buah-Buahan Eksotik Jabatan Pertanian Negeri di Sungai Batu Pahat.