JIKA Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pandangan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak memperincikan bilakah sidang Parlimen perlu dilaksanakan, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula berkata, titah baginda supaya sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin adalah selari dengan hasrat kerajaan Perikatan Nasional (PN) bagi memastikan amalan demokrasi terus disuburkan.
Mohamed Azmin turut menegaskan bahawa kerajaan pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak pernah mengatakan Parlimen tidak akan bersidang.
“Apa juga tindakan atau usaha dilaksanakan kerajaan tetap berpegang kepada prinsip undang-undang dan Perlembagaan.
“Dalam konteks sidang Parlimen, Perdana Menteri sendiri selaku Ketua Majlis mengatakan beberapa hari lalu bahawa Parlimen akan bersidang.
“Bagi saya pandangan dizahirkan Yang di-Pertuan Agong adalah selari dengan hasrat kerajaan untuk mengadakan sidang Parlimen pada masa sesuai supaya proses demokrasi akan terus disuburkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bukit Jawi Golf Resort, Pulau Pinang sempena Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) Covid-19.
Hadir sama, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Semalam, Al-Sultan Abdullah menzahirkan pandangan bahawa sesi persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat.
Titah itu dikeluarkan selepas Sesi Perbincangan Khas antara Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu di Istana Negara semalam.
Namun begitu, Takiyuddin Hassan dalam Bicara Harakah bertajuk ‘Proklamasi Darurat: Berjaya atau Sebaliknya’ yang disiarkan secara maya berkata, Seri Paduka hanya berpandangan supaya Parlimen perlu bersidang secepat mungkin tanpa menetapkan tarikh tertentu.
Sementara itu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan turut menegaskan kerajaan wajar memanggil persidangan Parlimen dengan kadar segera.
Menurut Mohamad atau Tok Mat, Parlimen tidak memerlukan pelbagai fasa dan syarat untuk kembali dibuka.
“Pembukaan Dewan Rakyat juga adalah medan sebenar kepada segala usaha pemulihan negara untuk diperdebat dan dibincangkan,” katanya.
Tok Mat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau turut menegaskan, pengumuman kerajaan melalui Pelan Pemulihan Negara bahawa Parlimen boleh dibuka menjelang September atau Oktober bukan satu kepastian.
“Ia tertakluk kepada pelbagai syarat seperti pengurangan kes dan kadar vaksinasi melalui pelbagai fasa yang digariskan,” katanya. – SM