Jamilah pilih ubi keledek ungu, mudah ditanam, laris di pasaran
GAMBAR seorang wanita di belakang timbunan besar ubi keledek berwarna ungu sangat menarik perhatian.
Beberapa kali status ini lalu lalang di dalam sebuah grup Facebook (FB) yang mengiklankan ubi keledek baharu saja dituai dari kebun untuk jualan.
Pada fikiran penulis, segera hubungi wanita ini kerana kagum dengan kemampuannya menghasilkan tanaman ubi keledek sehingga elok sebegini.
Kata Jamilah Senapi, 51, ketika dihubungi Suara Merdeka,” Berbudilah pada tanah, sedikit atau banyak setiap apa yang diusahakan itu pasti akan ada hasilnya.”
Sekalipun selama ini berpuluh tahun menghabiskan sebahagian usianya bekerja di kilang tetapi sejak berhenti tiga tahun lalu, beliau mencuba bidang pertanian.
Ibu kepada empat anak ini beruntung kerana minatnya ini dapat dikongsi bersama suami, Mohd Zahir Shuib, 52.
“Jagung adalah tanaman pertama yang diusahakan dan mampu mengeluarkan hasil yang baik,” katanya yang tinggal di Kampung Batu Bertangkup, Chuping, Perlis.
Bagaimanapun, katanya beliau terpaksa berhenti menanam jagung walau disukainya kerana tanaman ini memerlukan lebih penjagaan.
Tambahan pula beliau ketika itu sudah mula mengusahakan perniagaan menjual pokok bunga di nat (pasar sehari) di beberapa tempat sekitar Perlis.
Akhirnya Jamilah memilih untuk menanam ubi keledek ungu di tanah seluas 1.42 ekar yang dimilikinya dan disewa yang berdekatan tempat tinggal.
Katanya, pada awalnya dia membeli benih keratan pucuk ubi keledek tetapi selepas penuaian pertama ia menggunakan semula keratan pucuk untuk penanaman seterusnya.
Beliau berkata, menanam ubi keledek lebih mudah di mana pembajaan hanya sekali dan cukup tiga bulan ia sedia untuk dituai.
“Tanaman ubi tidak boleh lambat dituai kerana ia akan mula rosak,” katanya yang menanam 3,000 pokok ubi keledek.
Beliau berkata, apa yang buatkan dia puas hati kerana setiap pokok ini mampu menghasilkan satu kilo setengah kilogram ubi.
Katanya, beliau juga tidak bimbang dengan pasaran kerana permintaannya yang tinggi di pasaran.
“Ada yang datang membeli secara borong dan kalau ada lebihan saya bawa untuk dijual bersama benih pokok bunga di nat (pasar sehari),”katanya.
Beliau juga ada membuat COD sekitar Perlis untuk yang membeli tiga kilogram ke atas.
Selain menjual ubi dengan harga untuk RM5 sekilogram, Jamilah juga membekalkan benih keratan pucuk ubi. – SM