Jamal Abdillah pertahan anak, nafi terlibat isu curi kereta mewah
PENYANYI legenda tanah air, Datuk Jamal Abdillah, tampil mempertahankan anaknya, Osama Yamani, yang dikaitkan dengan isu kecurian kereta mewah yang tular di media sosial baru-baru ini.
Menurut laporan Harian Metro, Jamal menyatakan bahawa Osama kesal dan tertekan dengan tuduhan liar tersebut yang menjejaskan emosinya.
“Osama mengadu kepada saya. Katanya, ‘Babah, Maman dah kena fitnah.’ Saya tanya apa hal, dan dia jawab, isu curi kereta. Saya tanya adakah Maman buat, dan dia menafikan,” jelas Jamal.
Tambah Jamal, Osama turut menegaskan bahawa dia tidak tahu-menahu mengenai perkara itu.
“Saya nasihatkan dia bersabar dan jangan pedulikan dulu. Tengok dulu apa yang berlaku seterusnya. Osama kecewa kerana nama saya dikaitkan. Dia sedih sebab bapanya tidak tahu apa-apa,” katanya.
Sebagai seorang bapa, Jamal juga memberikan nasihat kepada Osama agar bersedia menghadapi cabaran sebagai figura yang dikenali.
“Kita dah popular, bukan semua orang suka. Ada yang benci dan cuba kaitkan kita dengan perkara buruk. Kalau isu ini berlarutan dan nama saya terus dikaitkan, saya tak teragak-agak untuk ambil tindakan undang-undang,” tegas Jamal.
Terdahulu, tular berita mengenai seorang anak penyanyi terkenal era 90-an yang didakwa mencuri kereta Ferrari bernilai RM300,000 di sebuah pusat cuci kereta di Jalan Hillview, Hulu Kelang, pada 17 November lalu.
Jamal Abdillah berharap isu ini dapat diselesaikan dengan baik dan nama keluarganya dibersihkan daripada sebarang tuduhan tidak berasas.