Nasionalpilihan

Jalan masuk ke Bandar Hilir ditutup 6 jam mulai Sabtu ini

Beberapa jalan utama masuk ke Bandar Hilir akan mula ditutup selama enam jam dari pukul 6.00 petang hingga 12.00 tengah malam bermula Sabtu ini.

Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, penutupan jalan tersebut adalah bagi tempoh percubaan sebelum zon bebas kenderaan dilaksanakan nanti.

Menurutnya, sewaktu tempoh percubaan tersebut tidak ada peniaga khususnya di Uptown Pahlawan Walk dekat Plaza Mahkota akan dipindahkan sebaliknya mereka akan terus kekal berniaga di situ.

Beliau berkata, jalan akan mula ditutup dari Bangunan Stadthuys hingga Menara Taming Sari manakala sebahagian jalan pula ditutup dari Menara Taming Sari hingga Memorial Perisytiharan Kemerdekaan.

Jelasnya, jalan tersebut ditutup berikutan penganjuran Program Ride & Run.

Related Articles

“Jadi bermula Sabtu ini akan bermula penutupan jalan sementara waktu supaya kita hendak melihat bagaimana sambutan masyarakat dan pelancong terhadap usaha pelaksanaan zon bebas kenderaan nanti.

“Kita hanya tutup jalan ini selama enam jam bermula dari pukul 6.00 petang hingga 12.00 malam sahaja. Ini hanyalah tempoh percubaan dan tidak melibatkan sebarang perpindahan peniaga.

“Saya harap semua pihak dapat beri kerjasama kerana kita telah cuba sedaya upaya supaya ia tidak menjadi masalah atau beban selain itu kita akan melihat komen daripada mereka,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB)dan Program Kibar Jalur Gemilang di Dewan Taming Sari di sini hari ini yang turut dihadiri Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman.

Mengulas lanjut Rais berkata, sepanjang tempoh percubaan itu kerajaan negeri ingin melihat apa masalah yang timbul dan apa perkara-perkara yang perlu ditambahbaik sebelum zon bebas kenderaan dilaksanakan selepas ini.

Sementara itu beliau meminta peniaga yang ingin memulakan perniagaan dan memunggah barang di kawasan yang terlibat dengan penutupan jalan, diminta masuk lebih awal sebelum jalan ditutup pada pukul 6.00 petang.

Mengenai kemudahan buggy disediakan kepada orang ramai Rais berkata, perkara tersebut akan diumumkan oleh MBMB nanti kerana itu adalah antara perkara yang perlu dititikberatkan.

Semantara itu MBMB dalam satu kenyataan memaklumkan antara jalan terlibat adalah dari Jalan Istana; Jalan Mahkamah; Jalan Gereja – Lorong Gereja- Jalan Laksamana – sebahagian Jalan Tun Khalil Yaakob (sebahagiannya untuk laluan kenderaan )- sebahagian Jalan Merdeka (sebahagiannya untuk laluan kenderaan )- Jalan Parameswara.

Perubahan aliran trafik di sebahagian Jalan Temenggong iaitu bermula dari Persimpangan Jalan Bendahara hingga Persimpangan Lorong Bukit Cina, Banda Hilir mulai Sabtu ini.

Manakala dari Jalan Bendahara, orang ramai boleh susur ke kiri untuk ke bulatan Bukit Cina dan boleh terus ke Bangunan Tabung Haji dan boleh susur kanan ke Jalan Bunga Raya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button