Nasional

Jalan alternatif sempadan Perak, Selangor ditutup

JALAN alternatif yang menghubungkan Tanjung Malim, Perak dengan Hulu Bernam, Selangor di Jambatan Stesen Bas Tanjung Malim ditutup sepenuhnya kepada lalu lintas sejak 3 April lepas.

Ketua Polis Daerah Muallim Supt Sulizmie Affendy Sulaiman berkata penutupan jalan di sempadan Perak dan Selangor itu bagi mengehadkan dan mengawal pergerakan orang ramai selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak COVID-19.

“Ia adalah jalan alternatif, namun Jalan Persekutuan Taman Universiti/Hulu Bernam bagi laluan sempadan Perak dan Selangor masih dibuka,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai beberapa gambar yang tular di laman sosial menunjukkan anggota polis mengawal penutupan jalan menggunakan kon yang mencetuskan kebimbangan orang ramai.

Sementara itu, Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak turut menutup empat laluan ke pekan Teluk Intan bermula 13 April ini bertujuan mengehadkan pergerakan orang ramai susulan pelaksanaan PKP.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata laluan terlibat adalah Jalan Pintas Lembaga Hasil Dalam Negeri Hilir Perak; Jalan Jawa; Jalan Sultan Abdullah ke Jalan Padang Tembak (susur kiri) menghala ke Bazar Nanas dan Jalan Maharajalela mulai lampu isyarat persimpangan Hotel Grand Court.

Katanya beberapa laluan alternatif boleh digunakan untuk pergi dan balik ke pekan Teluk Intan antaranya Jalan Changkat Jong menghala ke Jalan Sekolah/Jalan Bandar. — BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button