
Jadikan Masjid MADANI pusat komuniti setempat – PM Anwar
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyuarakan harapan agar Masjid MADANI yang akan dibina berdekatan Jalan Masjid India dapat berfungsi sebagai pusat komuniti setempat untuk umat Islam dan warga kota.
Anwar berkata pembinaan masjid di tengah kota itu menyerlahkan falsafah pembangunan yang berakar daripada akidah Islam, bukan sahaja untuk menghimpunkan umat Islam tetapi juga seluruh anggota masyarakat.
“Fadillah (Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof) pun sebut, cadangkan supaya ada ruang budaya, seni, tempat masyarakat berkumpul di masjid ini sebab ini masjid kota dan supaya rakan-rakan bukan Islam tak rasa kekok, kenal Islam yang sederhana, Islam yang penuh dengan rahmah dan hikmah.
“Sebab itu saya usulkan supaya ada ruang perpustakaan, dewan persidangan, seni dan budaya untuk perkenal Islam di mata awam,” katanya ketika merasmikan majlis pecah tanah pembinaan Masjid Madani milik kumpulan Jakel di Jalan Bunus, pada Khamis.
Masjid setinggi empat tingkat itu dibina di atas tanah seluas 12,142 kaki persegi dan dijangka siap pada 2027.
Masjid itu dijangka mampu menampung kira-kira 2,900 jemaah pada satu masa termasuk 592 jemaah di ruang solat utama di tingkat satu.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata, pembinaan masjid itu dibuat atas hasrat Allahyarham bapanya selain mengambil kira keperluan setempat yang mengalami masalah kesesakan teruk terutama sekali dalam menampung jemaah semasa solat Jumaat dan Hari Raya.
“Masjid ini akan memberi manfaat kepada umat Islam di kawasan sekitar dengan menyediakan kemudahan tempat ibadah yang lebih selesa dan teratur,” katanya.