Isu tiada visual masjid Tiong King Sing jawab kontroversi
MENTERI Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing, tampil menafikan dakwaan bahawa tiada visual masjid dimasukkan dalam montaj pelancaran kempen Tahun Melawat Malaysia 2026. Menurut beliau, montaj yang digunakan semasa majlis pelancaran hanyalah versi pendek dan ringkas.
“Montaj ini adalah versi awal khusus untuk majlis pelancaran. Seni bina masjid akan dimasukkan dalam video promosi versi penuh yang lebih panjang dan kini berada di peringkat akhir penghasilan,” jelas Tiong.
Beliau turut menegaskan bahawa seni bina masjid merupakan antara elemen penting dalam video promosi tersebut kerana ia melambangkan keindahan dan keunikan Malaysia.
“Malaysia kaya dengan pelbagai keindahan dan keunikan, termasuk seni bina masjid yang memukau. Elemen-elemen ini dimasukkan dalam video promosi yang lebih terperinci untuk memberikan paparan menyeluruh kepada penonton,” katanya.
Selain seni bina masjid, video penuh itu turut menampilkan elemen budaya lain seperti seni mempertahankan diri silat, tarian tradisional Ngajat dan Sumazau, serta pelbagai aspek warisan budaya. Video tersebut dijangka dilancarkan tidak lama lagi sebagai usaha mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan warisan.
Seruan agar Isu Tidak Dipolitikkan
Dalam responsnya, Tiong turut menyeru agar isu ini tidak dipolitikkan atau dijadikan bahan untuk mencetuskan sentimen perkauman dan keagamaan.
“Saya amat kesal dengan tindakan segelintir pihak yang memanipulasi isu ini untuk mencetuskan sentimen agama dan perkauman. Sikap ekstremis seperti ini mencabar keharmonian sosial kita, bukan usaha promosi kementerian,” tegasnya.
Beliau juga menolak sebarang tuduhan bahawa kementeriannya membawa agenda yang bercanggah dengan semangat “Malaysia Madani”. Sebaliknya, beliau menyeru semua pihak untuk mengutamakan perpaduan dan saling menghormati demi kesejahteraan bersama.
Isu ini mula tercetus selepas montaj berdurasi 41 saat yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Tourism Malaysia tidak menampilkan visual masjid, menimbulkan persoalan dalam kalangan sesetengah pihak. Naib Presiden Bersatu, Radzi Jidin, antara yang meminta penjelasan mengenai perkara ini.
Bagaimanapun, video tersebut kini telah dikeluarkan daripada saluran YouTube rasmi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
Artikle Berkaitan :>