pilihanPolitik

Isu Sulaiman letak jawatan bila akan berakhir?

Spekulasi politik Melaka mengaitkan Datuk Seri Sulaiman Md. Ali akan berundur daripada jawatan Ketua Menteri yang disandang bila akan berakhir?

Itu persoalan yang bermain difikiran dalam kalangan ahli politik, akar umbi dan rakyat negeri Melaka yang nyata sudah muak apabila isu ini kerap ditimbulkan.

Sudah tiba masanya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk membuat keputusan memaklumkan bahawa Sulaiman perlu kekal sebagai Ketua Menteri sehingga habis penggal agar ia tidak lagi perlu dipertikaikan atau dicabar oleh mana-mana pihak.

Jika tidak, situasi yang sama akan berlaku seperti tiada kesudahannya.

Sepatutnya UMNO dan BN mencari jalan untuk memperkukuhkan parti selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu menyaksikan buat pertama kali dalam sejarah Barisan Nasional (BN) di Melaka tewas kesemua enam kerusi termasuk dua kerusi fix deposit di Masjid Tanah dan Jasin.

Sehingga kini tidak ada sebarang penjelasan berhubung punca kekalahan teruk BN di Melaka. Apa lagi usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk memperkukuhkan semula kekuatan UMNO bagi menghadapi
PRU16 akan datang.

Spekulasi yang timbul dikaitkan dengan desas-desus Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh akan mengisi kekosongan tersebut difahamkan 3 Januari ini seperti yang didakwa oleh laporan sebuah media baru-baru ini.

Spekulasi mengenai peletakan jawatannya timbul pada Mei lalu kononnya Sulaiman dipaksa pihak tertentu untuk menandatangani surat peletakan jawatan.

Beliau bagaimanapun menafikan perkara itu sambil menyifatkannya sebagai agenda mereka yang hanya ingin menggugat kestabilan kerajaan negeri dipimpinnya sejak BN memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN), November tahun lalu.

Spekulasi itu kemudian reda sebelum kembali hangat diperkatakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu.

Pada Isnin, Sulaiman dilaporkan bakal berundur pada 3 Januari tahun hadapan untuk memberi laluan kepada Ab. Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bidara bagi menggantikan beliau.

Kalau tiada angin, masakan pokok bergoyang! Itu menggambarkan situasi yang sebenarnya berlaku di Melaka.

Menurut satu sumber, Sulaiman dikatakan telah menghantar surat perletakan jawatannya sebagai Ketua Menteri berkuatkuasa 8 Januari 2023 kepada Presiden UMNO.

Kata sumber itu, sejurus tamat mesyuarat MKT, Sulaiman ditemani Ab. Rauf dilihat memasuki bilik Ahmad Zahid serta difahamkan menghantar surat perletakan jawatan tanpa menyebut sebab utama keputusan itu dibuat.

Sejak itu, perkara tersebut menjadi bualan dalam kalangan pemimpin politik yang tahu berhubung perkara tersebut hampir dua minggu sehingga sebuah akhbar Cina mendedahkan perkara tersebut sehingga mencetuskan pelbagai reaksi.

Akhbar UTUSAN MALAYSIA melaporkan, Sulaiman ketika dihubungi menyangkal dakwaan itu sebagaimana yang tersiar di sebuah portal berbahasa Cina baru-baru ini.

Katanya, dakwaan sedemikian adalah kali kedua menimpa dirinya sebagaimana berlaku pada Mei lalu.

“Tak betul,” katanya ringkas ketika ditanya menerusi kiriman WhatsApp berhubung dakwaan akan meletakkan jawatannya dalam awal bulan depan.

Terdahulu sumber turut memberitahu difahamkan, Sulaiman telah ditemui oleh Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md. Akin dalam pertemuan yang berlangsung hampir tiga jam baru-baru ini.

Difahamkan pertemuan diaturkan atas arahan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu isu politik Melaka diredakan segera.

Dalam pada itu, menurut laporan MalaysiaGazette pada Selasa, Ab. Rauf menafikan beliau akan mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka baharu tidak lama lagi seperti dakwaan poster yang tersebar luas di media sosial semalam.

Beliau juga turut menafikan memberi tekanan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali untuk melepaskan jawatan beliau seperti didakwa.

Sementara itu, Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka menafikan akan ada majlis istiadat angkat sumpah jawatan Ketua Menteri Melaka yang baharu pada 3 Januari ini seperti yang didakwa sesetengah pihak sebelum ini.

Setiausaha Sulit kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam, Farhan Abd. Rahim berkata, pihaknya tidak menerima sebarang permohonan peletakan jawatan atau surat daripada Ketua
Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang sebelum ini dikatakan sudah diserahkan pada awal bulan ini.

Kenyataan itu sekali gus menutup segala spekulasi berkaitan pelantikan Ketua Menteri Melaka yang baharu seperti digembar-gemburkan pada 3 Januari ini.

Sulaiman mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri ke-13 pada 21 November tahun lalu selepas BN menang 21 daripada 28 kerusi pada PRN Melaka. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button