Analisis

Isu Masjid Madani: Pemimpin jadi kuat, berani bila dapat sokongan padu rakyat

HARI ini sebenarnya hari yang mendebarkan. Walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya melakukan upacara pecah tanah dan meletakkan batu asas pembinaan Masjid Madani di kawasan Masjid India, tetapi kontroversi sebelumnya meresahkan rakyat seluruh negara.

Ketika kejadian rusuhan dan sebagainya melibatkan rumah ibadat sebelum ini masih segar diingatan rakyat negara ini, Perdana Menteri bertindak bijak dan berani menyelesaikan dengan tegas bagi memastikan isu kuil Hindu yang juga terletak di kawasan berkenaan turut disantuni dengan baik.

Keberanian Perdana Menteri dalam membuat keputusan sudah tentu kerana beliau mendapat sokongan tidak berbelah bagi daripada penganut Islam dan pada masa yang sama penganut Hindu akhirnya mengakui bahawa kedaulatan undang-undang harus diletak ke hadapan bagi memastikan keharmonian negara ini.

Kita lihat walaupun ada pihak mendesak supaya nama Masjid Madani ditukar, Perdana Menteri tetap bertegas. Bahkan ada yang menggesa supaya majlis pecah tanah itu ditangguh, tetapi Anwar sedar umat Islam bersama beliau dan penganut Hindu yang cintakan keamanan serta integriti turut bersama beliau.

Rakyat negara ini dengan pelbagai kaum dan anutan agama sentiasa mahukan negara ini aman dan harmoni serta rasa selamat untuk didiami.

Walaupun dalam pelbagai hal khususnya membabitkan politik orang Melayu yang majoriti menganut Islam sukar untuk bersependapat, tetapi apabila membabitkan isu masjid ini mereka menyatakan sokongan serta bersatu tanpa mengira fahaman politik atau cara hidup.

Ini membuktikan bahawa jika rakyat khususnya orang Melayu-Islam mahukan pemimpin menjaga dan membela kepentingan mereka, pemimpin yang diharapkan itu perlu diberi sokongan yang tidak berbelah bahagi. Seorang pemimpin juga tidak akan berani bertindak jika dia tidak tahu di mana letaknya sokongan serta kedudukan beliau.

Apatah lagi ketika umat Islam bakal menyambut Aidilfitri beberapa hari lagi, ini adalah hadiah yang sangat tidak ternilai harganya dan bagi seluruh rakyat Malaysia boleh menarik nafas lega akhirnya carik-carik tercipta kini bertaut kembali.

Pada masa yang sama kita semua perlu menghentikan tindakan provokasi yang boleh mencetuskan situasi tidak harmoni di dalam negara ini, kerana akhirnya yang akan rugi adalah diri kita juga. Pihak-pihak terbabit juga perlu mengambil iktibar daripada senario ini supaya tidak mengulangi kesilapan yang sama.

Paling utama adalah memastikan agama tidak ditunggang oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, semata-mata untuk mendapatkan sorotan dan laba.

Tahniah saya ucapkan kepada Perdana Menteri dan rakyat Malaysia seluruhnya kerana tetap mengawal diri dalam mengetengahkan pandangan dan pendapat di media sosial kerana sedar kesan buruk kepada diri sendiri dan negara.

Saya juga berharap apabila masjid dan kuil terletak bersebelahan, ia akan menjadi contoh keharmonian bukan sahaja kepada negara ini, tetapi seluruh dunia. Kuil mempunyai warisannya tersendiri tetap terpelihara, manakala Masjid Madani bakal menjadi institusi penyatuan ummah.

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button