Isu lesen video: Fahmi minta Saifuddin letak jawatan
MENTERI Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah diminta meletakkan jawatan kerana telah melakukan tidak epsiod salah langkah termasuk berhubung ketetapan syarat pelesenan filem di bawah undang-undang.
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, walaupun Saifuddin memberikan penjelasan berhubunag kenyataannya di Parlimen, tetapi ia gagal menjawah persoalan utama yang ditimbulkan.
Persoalan utama kata Ahli Parlimen Lembah Pantai itu ialah, mengenai apakah Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) 1981 akan dikenakan untuk pengguna media sosial.
“Saya kira, selepas tiga episod ‘salah langkah’ sejak dilantik menjadi menteri […] sudah tiba masanya YB Menteri Komunikasi dan Multimedia letak jawatan,” kata Fahmi dalam satu kenyataan.
Saifuddin sebelum itu memberitahu Dewan Rakyat bahawa lesen dari Finas diperlukan untuk semua aktiviti penggambaran di Malaysia, termasuk untuk kegunaan peribadi di media sosial.
Ekoran itu Menteri Komunikasi dan Multimedia itu dikritik hebat kerana dikatakan cuba menyekat kebebasan peribadi.
Selepas itu Saifuddin membuat penjelasan bahawa kerajaan tidak berniat menggunakan akta tersebut bagi menyekat kebebasan peribadi dan mengakui akta tersebut memerlukan penambahbaikan.
Saifuddin berkata bahawa kenyataannya itu sebagai respons kepada Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi untuk menjelaskan Akta Finas seperti yang ada sekarang.
Fahmi berkata, sekiranya Saifuddin menyatakan dengan jelas sama ada pengguna media sosial di platform berasaskan video seperti TikTok dan Youtube dikenakan syarat lesen atau tidak, maka kekeliruan itu tidak akan berlaku..
“Jawapan yang dipohon mudah: ya atau tidak. Sekali lagi, ia tidak dijawab,” kata Fahmi.
Mengenai pendirian terbaru Saifuddin, Fahmi berkata ia hanyalah sekadar untuk meredakan kemarahan netizen.
“Sepatutnya YB Menteri mengangkat hujah-hujah ini terutama niat meminda akta di dalam jawapan beliau di Dewan Rakyat pagi tadi.
“Ini kerana Dewan Rakyat lah institusi yang berfungsi mewujud atau meminda sesebuah Akta. Namun ini tidak berlaku pagi tadi.
“Oleh itu, saya berpandangan kenyataan terbaru YB Menteri ini berniat ‘mencari jalan keluar’ untuk meredakan kemarahan netizen.
“Dan paling malang, kenyataan beliau ini sebenarnya masih tidak menyatakan dengan jelas bahawa lesen Finas tidak diperlukan oleh pengguna media sosial di pelantar seperti TikTok, YouTube, dan sebagainya,” katanya. – SM