Negeri

Isu kuil: Tiada siapa berhak beri jaminan luar undang-undang

‘Tiada sesiapapun berhak memberi apa-apa jaminan di luar batas undang-undang negara ini’.

Itu penegasan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor terhadap gesaan Gabungan NGO Hindu supaya beliau memberi jaminan tiada lagi kuil Hindu dirobohkan di negeri itu.

Muhammad Sanusi berkata, adalah lebih baik untuk pihak yang membina sebarang struktur secara haram di tanah bukan milik mereka untuk memindahkan sendiri binaan terbabit tanpa penglibatan pihak berkuasa.

Jelas beliau, undang-undang yang ada perlu dipatuhi oleh setiap lapisan masyarakat bagi memastikan keharmonian masyarakat yang berbilang agama dan kaum dapat dipelihara.

“Sekiranya terdapat struktur yang dibina membelakangi undang-undang, alanglah baiknya jika ia dapat dipindahkan, dibuka atau dirobohkan sendiri pemiliknya tanpa penglibatan penguatkuasa undang-undang.

“Set undang-undang yang setara dan seragam untuk melindungi setiap warga amatlah penting untuk dipatuhi oleh semua pihak.

“Dengan demikianlah keharmonian dan keamanan dalam masyarakat berbilang kaum dan agama dapat dipupuk dan dipelihara sepanjang masa,” kata Muhammad Sanusi.

Beliau berkata, sebarang struktur tidak akan diusik dan dijamin keabsahannya oleh undang-undang jika pembinaan struktur tersebut selari dengan kehendak undang-undang.

Menurut Muhammad Sanusi, pemilik struktur bangunan tidak perlu bimbang sekiranya pembinaan yang dilakukan telah melalui proses kelulusan oleh pihak berkuasa.

Semalam Presiden Gabungan NGO Hindu dan Kuil Malaysia, V Kandasamy, meminta Muhammad Sanusi memberi jaminan agar Kuil Raja Muniswarar Temple yang diroboh kerana dibina tanpa kebenaran akan dibina semula di tapak baharu yang dipersetujui sebelum ini.

“Sebagai MB Kedah, beliau sepatutnya mendapatkan maklum balas daripada pemimpin masyarakat dan agama tempatan untuk mengelakkan rumah ibadat dirobohkan,” kata beliau.

Kandasamy berkata banyak kuil Hindu di Malaysia dibina sebelum kemerdekaan, justeru isu perobohan tanpa pertimbangan wajar harus dielakkan.

Majlis Bandaraya Alor Setar awal bulan ini merobohkan Kuil Sri Raja Muniswarar di Taman Bersatu, Kuala Kedah, selepas tapak tersebut yang dimiliki kerajaan negeri mahu dibangunkan.

Selain kuil itu, sebuah dewan silat dan lima kawasan parkir turut dirobohkan untuk dibina gelanggang futsal.-SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button