Isu kalimah Allah: Saifuddin perlu beri pencerahan telliti
Jangan pandang remeh terhadap isu aqidah agama Islam dan sepatutnya tiada kompromi dalam mempertahankan syiar agama Islam di negara kita.
Malaysia adalah sebuah negara Islam dan persoalan agama Islam termaktub jelas dalam perlembagaan persekutuan.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution harus beri pencerahan secara jelas kepada keseluruhan umat Islam mengenai keputusan Kerajaan Madani menarik balik rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi mengenai penggunaan ‘Kalimah Allah,’ ‘Baitullah,’ ‘Kaabah’ dan ‘Solat’ dalam penerbitan agama Keristian.
Kementerian Dalam Negeri atas persetujuan serta arahan daripada Kabinet Kerajaan Perpaduan BN&PH telah menarik balik di mana Notis Pemberhentian telah difailkan pada 18 April 2023.
Hakikatnya, tindakan terburu-buru ini tanpa meminta pandangan dari beberapa badan-badan agama Islam akan menjejaskan maslahah mahupun kepentingan seluruh umat Islam di negara ini.
Keengganan kerajaan BN&PH untuk meneruskan rayuan kes penggunaan ‘Kalimah Allah’ ini juga kelihatan tidak menghormati larangan penggunaan ‘Kalimah Allah’ di Selangor sepertimana yang dititah oleh DYMM Sultan Selangor sepertimana diperuntukan di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam 1989 yang telah diwartakan pada 7 Julai 1988).
Malahan, pendirian Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan dan Hal Ehwal Ugama Islam secara jelas menyatakan lafaz ‘ALLAH swt’ adalah khusus kepada umat Islam saja.
Apa yang menghairankan keseluruhan umat Islam di tanahair kita adalah mengapa Kerajaan Madani tidak berbincang atau meminta pandangan dari semua pihak yang terlibat terlebih terlebih dahulu sebelum membuat keputusan ini.
Kita tidak mahu membuat satu rumusan secara tergesa-gesa dalam isu menarik balik rayuan ini tetapi dalam masa yang sama nampak sangat Kerajaan Madani pada hari ini telah melakukan pelbagai kekhilafan yang menimbulkan pelbagai keraguan.
Keputusan Majlis Agama Islam dari beberapa negeri juga diketepikan begitu saja.
Pada hemat peribadi saya mufti-mufti dan pegawai-pegawai agama dari Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) harus tampil memberi pandangan secara jelas serta tegas.
Apapun, keseluruhan umat Islam harus bertenang sehingga Datuk Seri Saifuddin Nasution dan Kerajaan Madani memberi satu justifikasi yang ‘crystal clear’ dalam isu menarik balik rayuan ini.
Segala bentuk tindakan yang selanjutnya akan diambil setelah kita mendengar penerangan terperinci dari pihak Menteri Dalam Negeri khususnya.
Dalam apa jua keadaan pihak kami tidak akan berkompromi dalam isu aqidah serta syiar agama Islam di negara kita.
Jangan sesiapa cuba hendak memperkotak-katikkan kedudukan syiar Islam di bumi Malaysia.
Yang Ikhlas,
KHAIRUDDIN ABU HASSAN
Biro Mobilisasi Sekretariat Proklamasi Orang Melayu
17 Mei 2023