
Isteri usahawan Ridzuan Ridzokumura, Akiko Okumura meninggal dunia
ISTERI kepada usahawan dan pempengaruh media sosial, Ridzuan Ridzokumura, iaitu Akiko Okumura, telah menghembuskan nafas terakhir pada hari Jumaat.
Berita sedih itu disahkan sendiri oleh Ridzuan atau nama sebenarnya Abd Ridzuan Abdul Mutalib, 50, menerusi satu hantaran di Instagram miliknya.
Dalam perkongsian tersebut, Ridzuan memaklumkan pemergian isterinya yang tersayang, meninggalkan dia dan anak lelaki mereka, Sky Taizo Okumura.
“Al-Fatihah buat arwah isteri saya, Akiko. Dia telah pergi meninggalkan saya dan anak selamanya,” tulisnya ringkas.
Bagaimanapun, punca pemergian Akiko tidak dinyatakan.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian ramai, dengan para pengikut dan rakan selebriti mengucapkan takziah serta mendoakan agar Ridzuan dan anaknya diberikan kekuatan menghadapi kehilangan ini.
Untuk rekod, Ridzuan mendirikan rumah tangga dengan Akiko, seorang wanita kelahiran Jepun, pada Februari 2009.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Sky Taizo Okumura, yang kini berusia 13 tahun.