Israel bom pejabat Al Jazeera, AP di Gaza
Israel telah memusnahkan pejabat media antarabangsa di Gaza termasuk Al Jazeera dan AP sebentar tadi, selepas memberi amaran sejam sebelum itu.
Al Jazeera menyiarkan secara langsung Israel mengebom bangunan yang menempatkan agensi media asing di media sosialnya.
“Saya telah bekerja di sini selama 11 tahun. Saya telah membuat liputan banyak acara dari bangunan ini … sekarang semuanya, dalam dua saat, hilang begitu saja,” kata wartawan AL Jazeera, Safwat al-Kahlout.
Sebelum itu Al Jazeera melalui Twitternya memaklumkan amaran yang dikeluarkan oleh Israel.
“Israel telah memberikan “peringatan” bahawa ia akan mengebom bangunan yang menempatkan pejabat Al Jazeera dan saluran media antarabangsa lain di Kota Gaza dalam satu jam'”
Fares Akram, koresponden Gaza untuk agensi berita The Associated Press, juga melakukan ciapan yang sama, “Sekarang bom boleh jatuh di pejabat kami. Kami berlari menuruni tangga dari tingkat 11 dan sekarang melihat bangunan dari jauh, berdoa agar tentera Israel tidak melakukannya.”