Jenayah

Ismail Sabri hadir di SPRM lagi

PUTRAJAYA – Proses merekod keterangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram diteruskan pada Rabu.

Beliau yang sempat melambai tangan kepada petugas media hadir pada jam 9.57 pagi menaiki kenderaan Toyota Vellfire berwarna hitam.

Kehadiran Ahli Parlimen Bera itu turut diiringi kenderaan polis, lapor Sinar Harian

Wartawan daripada pelbagai agensi media dilihat berkampung seawal jam 9 pagi bagi menantikan perkembangan terkini kes bekas pemimpin negara tersebut semasa mentadbir kerajaan dari 2021 hingga 2022.

Isnin lalu, Ismail Sabri mengambil masa lebih enam jam untuk merakamkan keterangan.

Pada 3 Mac, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata bahawa Ismail Sabri adalah suspek bagi siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta dalam sebuah ‘safe house’ selepas serbuan dilakukan pihaknya.

SPRM juga dilaporkan menyita 13 akaun membabitkan nilai lebih RM2 juta bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Pendedahan itu dibuat menerusi siri serbuan membabitkan tiga premis, termasuk sebuah ‘safe house’ di sekitar ibu negara yang dimiliki oleh bekas pegawai kanan Ismail Sabri.

Semua hasil rampasan turut dikaitkan dengan perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta program publisiti sewaktu Ismail Sabri memegang jawatan Perdana Menteri Kesembilan.

Difahamkan, SPRM juga telah merekodkan keterangan 36 saksi bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Ismail Sabri. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button